Himpunan Mega Demi Palestin tiada permit: Polis

Penganjur program dirancang diadakan pada 2 Mac itu, masih gagal mengemukakan sebarang pemakluman dan permohonan

1:50 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya mengeluarkan permit mengenai penganjuran Himpunan Mega Demi Palestin pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah berkata, sehingga kini, penganjur program itu, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) masih gagal mengemukakan sebarang pemakluman dan permohonan.

“Tiada kelulusan permit dikeluarkan berhubung dengan program Himpunan Mega Demi Palestin seperti dimaklumkan SSP,” katanya menerusi kenyataan lewat malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju sudah mengadakan sesi perjumpaan bersama pihak penganjur pada 22 Februari lalu.

“Hasil daripada perjumpaan tersebut, pihak penganjur dinasihatkan untuk mengemukakan permakluman dan permohonan permit kepada pihak IPD Wangsa Maju,” katanya.

Ashari berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran.

“Segala tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan atau melanggar undang-undang,” katanya.

Semalam, media melaporkan, SSP memberitahu pihaknya sudah mendapat kelulusan polis untuk penganjuran perhimpunan itu.

Ia akan menyaksikan peserta berarak sejauh lima kilometer (km), bermula berhampiran Kedutaan AS dan berakhir di Padang Merbok berdekatan Parlimen, dengan penganjur merancang singgah di KLCC, Hotel Renaissance, Maju Junction dan Jalan Raja Laut di sepanjang perjalanan.

Perarakan itu yang dijadual bermula jam 2 petang dirancang berlangsung sekurang-kurangnya satu jam.

Sementara itu, jurucakap SSP, Tian Chua dilaporkan berkata, program dijangka disertai ratusan individu dalam kalangan orang awam dan pemimpin parti politik itu, bermatlamat menunjukkan kesatuan dan perpaduan rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin.

Katanya, program itu juga sebagai menyuarakan bantahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman Israel ke atas Palestin yang menyaksikan lebih 29,000 penduduk Gaza terkorban dalam peperangan tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu itu, manakala 69,737 orang cedera setakat kelmarin. – 28 Februari, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related