4 suspek lolos dikejar polis berjaya diberkas, direman 4 hari

Kesemua mereka ditahan di Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah semalam

9:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Empat suspek menaiki kereta Toyota Hilux yang lolos ketika dikejar polis dalam kejadian di KM 215 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Utara dekat Taiping, Perak pada Isnin lalu berjaya diberkas.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 38 hingga 42 tahun ditahan di Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian mencuri kabel di Taman Ipoh, Jaya Timur dan beberapa kawasan lain sekitar Ipoh.

“Semasa tangkapan, sepasukan polis dari Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, keempat-empat suspek yang juga warga tempatan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, selepas siasatan selesai, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kabel) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian Isnin lalu, dua anggota polis cedera apabila kereta peronda unit kereta peronda (MPV) dinaiki mereka terbabas ketika mengejar kenderaan suspek.

Dua anggota polis masing-masing berpangkat koperal dan lans koperal berusia 38 dan 29 tahun itu terbabit kemalangan apabila kereta peronda dinaiki mereka melanggar objek besi yang dilempar daripada kenderaan Toyota Hilux dinaiki suspek.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, kereta peronda berkenaan menerima arahan daripada pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi memberi bantuan kepada lima lagi kereta peronda MPV polis dari IPD Ipoh dalam usaha menahan kenderaan suspek.

Seorang anggota polis mengalami luka di kepala serta calar di kaki manakala rakannya sakit bahagian dada, tengkuk dan kecederaan kecil di tangan kanan. – 27 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Related