Akta baharu berhubung penguatkuasaan ‘kill switch’ sedang dirangka tingkat keselamatan digital

Beberapa peruntukan undang-undang lain turut diteliti bagi membolehkan wang penipuan dikembalikan kepada mangsa

1:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung dengan tatacara dan penguatkuasaan ‘kill switch’ sebagai cara untuk meningkatkan keselamatan digital berikutan ancaman jenayah siber.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan akta baharu itu selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kes jenayah siber yang semakin meningkat.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-Undang Baharu berkaitan dengan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian pada 5 Februari lalu yang turut melibatkan 16 agensi kerajaan dan badan berkanun di Malaysia.

“Berdasarkan mesyuarat dan sesi libat urus yang diadakan, didapati perundangan sedia ada tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang pesat dan menyebabkan penipuan dalam alam maya semakin berleluasa sehingga platform yang ada tidak lagi selamat dan dicemari dengan pelbagai jenayah, termasuklah penipuan dalam talian (online scam).

“Selain itu, terdapat keperluan segera bagi pewujudan satu sistem “kill switch” melalui perundangan dalam memberhentikan aktiviti-aktiviti penipuan dalam mana-mana domain atau platform dalam talian di Malaysia secara serta-merta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang meminta Perdana Menteri menyatakan usaha dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan melalui agensi berkenaan juga sedang meneliti beberapa peruntukan undang-undang lain bagi membolehkan wang penipuan dikembalikan kepada mangsa.

Katanya, antara peruntukan undang-undang itu adalah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

“Tidak dapat dinafikan bahawa perkhidmatan dalam talian mengubah kehidupan rakyat pada masa kini, membawa peluang baharu kepada orang ramai dan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan.

“Namun, alam siber semakin menjadi lobok jenayah dan giat dieksploitasi secara mudah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab lantas menyebabkan peningkatan dalam kes jenayah siber secara drastik,” katanya.

Beliau berkata, antara cabaran lain disebabkan ekosistem siber sekarang seperti kewujudan AI diekploitasi dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak dengan bertindak menyediakan perkhidmatan yang lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan awam.

Susulan itu, katanya, satu mesyuarat diadakan pada 20 Disember tahun lalu, bersama semua agensi dengan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara, Kementerian Kewangan (MOF) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM).

Berikutan itu, satu jawatankuasa cadangan penggubalan undang-undang baharu berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian dipengerusikan beliau bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

“Kerajaan Madani memandang serius isu jenayah dalam talian ini dan sedang giat mengatur pelbagai usaha secara strategik bagi memeranginya secara efektif dan pada kadar segera.

“Kerajaan akan memastikan individu tidak bertanggungjawab tidak lagi mempunyai sebarang ruang dan peluang untuk memperdaya rakyat melalui penipuan dalam talian setelah undang-undang baharu bagi menangani isu ini dapat diluluskan dan dikuatkuasakan kelak,” katanya. – 27 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Leaders bicker while Indians suffer, Santiago slams fellow politicians

Veteran DAP man says angry politicians uncaring for the plight of Indians are the reason why some problems remain unresolved over decades

Related