KUALA LUMPUR – Orang ramai terutama mereka yang berada di kawasan yang merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelak masalah dehidrasi.
Bercakap kepada Scoop, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, fenomena cuaca panas boleh menyebabkan masalah kesihatan.
“Saya nasihatkan mereka yang berada di kawasan terjejas terutamanya kanak-kanak dan warga emas supaya tidak terdedah terlampau lama dengan cahaya matahari.
“Mereka juga perlu elakkan bersukan atau melakukan aktiviti berkebun di luar rumah kerana cuaca panas melampau ketika ini,” katanya.
Menurutnya, orang ramai digalakkan untuk mengamalkan pemakaian sunscreen (krim pelindung matahari) dan menggunakan baju berwarna cerah serta lengan pendek untuk mengurangkan ketidakselesaan akibat kepanasan melampau.
Dr Sharifa berkata, bagi yang berkemampuan, mereka digalakkan untuk memasang penyaman udara (air conditioner) dan sunscreen filter (penapis pelindung matahari) di tingkap untuk mengelakkan pencahayaan langsung ke dalam rumah ataupun tempat kerja.
“Selain boleh memasang aircond dan sunscreen filter, orang ramai digalakkan sentiasa memasang kipas untuk memastikan aliran udara di rumah berada dalam keadaan baik.
“Malah, orang ramai juga disarankan untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya demam mencecah 38 darjah Celcius terutamanya kanak-kanak,” katanya.
Dari segi amalan pemakanan, Dr Sharifa menyarankan orang ramai supaya mengurangkan pengambilan minuman bergula, kafein dan alkohol, sebaliknya lebihkan minum air masak bagi memastikan stamina dan kesihatan diri berada dalam keadaan terbaik.
“Untuk anak-anak kecil pastikan mereka minum air mencukupi dan bukan air manis serta bikarbonat yang pastinya tidak baik untuk mereka.
“Galakkan mereka untuk minum susu, air masak dan lebihkan pengambilan buah-buahan,” katanya.
Dalam pada itu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi hebahan di Facebook berkongsikan tips untuk menyejukkan rumah secara semulajadi.
Katanya, orang ramai tidak perlu menetapkan suhu 16 darjah Celcius untuk menyejukkan ruang, sebaliknya cukup dengan mengekalkan suhu nyaman pada tahap 22 hingga 25 darjah Celcius sahaja yang mana lebih berkesan serta menjimatkan bil.
Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk menghalakan kipas ke arah ketulan ais batu serta mencuci pakaian pada waktu malam.
“Anda perlu tahu, cuaca di luar lebih panas pada waktu siang dan lebih sejuk pada waktu petang dan malam.
“Ini menjadikan udara panas akan naik ke atas manakala udara sejuk akan berada di bawah kerana pergerakan udara dari tekanan tinggi bertukar ke tekanan rendah.
“Selain itu, penggunaan elektrik serta aktiviti memasak (turut) meningkatkan suhu,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan sebanyak 14 kawasan di seluruh negara merekodkan suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga.
Tahap berjaga-jaga adalah suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Kawasan terlibat ialah sembilan lokasi di Kedah (Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Bandar Baharu dan Kulim), dan Perlis.
Turut terlibat, Kuala Kangsar, Perak, Tangkak, Johor manakala di Sabah pula membabitkan Beaufort. – 27 Februari, 2024