KUALA LUMPUR – ‘Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa saya yang mengharapkan Brother Hamza (Sonny Bill Williams) akan hadir ke program ini, demi menunjukkan solidairi Ikhlas kepada Palestin dan menghimpunkan orang ramai di masjid.
“Terima kasih Hamza kerana meluangkan masa hadir dan mari kita anjurkan ini di New Zealand,” kata selebriti popular tanah air, Alif Satar susulan kehadiran legenda Ragbi dunia dari New Zealand, yang hadir ke program kempen Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.
Pada program itu, kelihatan Sonny berpelukan dengan Alif yang juga individu yang menggerakkan dan mempromosikan Geng Subuh Macam Jumaat sejak beberapa bulan lalu.
Bekas Bintang ragbi All Blacks berumur 39 tahun itu antara 5,000 jemaah mengimarahkan program seawall 5 pagi berkenaan yang turut dihadiri pemimpin masyarakat, selebriti dan orang awam.
Antaranya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Timbalannya, Zulkifli Hasan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Solat subuh itu dipimpin Imam Masjid Putra, Abdul Karim Zakaria dan disusuli sesi perkongsian ilmu bersama Sonny.
Mengulas mengenai kempen Solat Subuh Macam Jumaat dan kehadirannya ke situ, Sonny melahirkan rasa kagum terhadap program itu kerana ia menggalakkan umat Islam menunaikan solat Subuh di masjid
“Saya mengakui betapa baiknya rakyat Malaysia. Saya bangga sebagai seorang Islam apabila melihat ramai jemaah datang menunaikan solat Subuh,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Na’im menyarankan semua jawatankuasa masjid dan surau, khususnya di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), mempelbagaikan aktiviti yang boleh menarik minat umat Islam mengimarahkan rumah ibadat berkenaan.
“Pempengaruh adalah sebahagian daripada cara untuk tarik jemaah ke masjid, cuma program untuk kempen ini perlu dipelbagaikan dengan kaedah lain.
“Paling penting ialah niat untuk hadir ke masjid, iaitu datang menunaikan solat Subuh bukan niat bertemu pempengaruh.
“Saudara Hamza (Williams) juga ada nyatakan agar perbetulkan niat kerana beliau juga hadir ke sini kerana Allah,” katanya.
Berkongsi kehadirannya ke Malaysia, Sonny yang muncul juara dunia dua kali pada 2011 dan 2015 berkata, beliau kagum dengan sikap merendah diri serta adab ditunjukkan tiga rakyat Malaysia ketika bertemu di Makkah, baru-baru ini.
Sonny berada di negara ini bagi menghadiri pelbagai program keagaaman dan aktiviti sukan, antaranya Klinik Rugbi di Mini Stadium Majlis Sukan Negara.
Dalam tempoh berada di Malaysia, Sonny turut berpeluang menghadiri makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah restoran di ibu negara.
Perdana Menteri dan pemain kelahiran New Zealand yang dilaporkan memeluk Islam sejak 2008 itu, meluangkan masa kira-kira sejam untuk menjamu selera dengan menikmati juadah kampung dan berbual.
Beliau kemudian menghadiahkan buku biografinya berjudul ‘You Can’t Stop the Sun From Shining’ kepada Anwar.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang turut berada pada majlis itu berkata, Anwar dan Sonny berbincang serta bertukar pandangan mengenai beberapa perkara yang boleh diusahakan secara bersama, termasuk arena sukan tanah air dan pendidikan. – 25 Februari, 2024