KUALA LUMPUR – Israel meluluskan keputusan menghantar perunding ke Qatar dalam tempoh terdekat bagi meneruskan rundingan untuk mencari penyelesaian berhubung usaha genjatan senjata susulan konflik perang di antara tentera negaranya dengan Palestin.
AFP melaporkan, keputusan itu diluluskan Kabinet Perang Israel semalam dan perunding akan dihantar ke Qatar dalam masa beberapa hari ini, dengan rundingan itu juga mensasarkan untuk membolehkan tebusan di Gaza dibawa pulang.
Rundingan itu dilaporkan bermula di Paris yang menyaksikan ketua perkhidmatan perisikan luar negara Israel, Mossad dan rakan sejawatannya di perkhidmatan keselamatan Shin Bet bertemu dengan pengantara dari Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar.
Pada satu temu bual televisyen semalam, penasihat keselamatan negara Israel, Tzachi Hanegbi berkata, ‘delegasi itu sudah kembali dari Paris dan ia menunjukkan mungkin ada ruang untuk bergerak ke arah perjanjian’.
Beliau memaklumkan, sebelum mesyuarat itu, perunding berkenaan meminta supaya memberitahu Kabinet Israel ‘untuk membawa pihaknya mempercepatkan keputusan dicapai pada sidang kemuncak Paris terbabit’.
Media Israel melaporkan, perunding yang akan ke Qatar itu bakal meneruskan rundingan mengenai gencatan senjata selama seminggu, membabitkan pembebasan tebusan sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin yang ditahan di Israel.
Ketika ini, tekanan ke atas kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semakin memuncak untuk mencapai satu perjanjian bagi membebaskan tebusan.
Ia dapat disaksikan dengan ribuan orang berkumpul di Tel Aviv Sabtu lalu pada acara dikenali sebagai ‘Dataran Tebusan’ untuk menuntut tindakan lebih pantas daripada kerajaannya.
“Kami berfikir mengenai mereka (tebusan) sepanjang masa dan mahu mereka kembali hdup bebas secepat mungkin.
“Kami akan membantah sekali lagi sehingga mereka kembali,” kata seorang daripada mereka yang berkumpul pada acara itu kepada AFP.
Dalam temubualnya itu juga, Hanegbi berkata, Israel menuntut pembebasan semua tebusan masih ditahan susulan peperangan yang tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu, bermula dengan membebaskan wanita.
Namun, beliau tetap menegaskan, meskipun pihaknya ingin membuat perjanjian untuk menuntut pembebasan tahanan, ia bukan bermaksud berakhirnya perang.
Beliau juga menyatakan, Israel tidak akan menerima sebarang perjanjian antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi untuk Palestin.
Terdahulu, Netanyahu menerusi kenyataannya berkata, mesyuarat Kabinet semalam itu, membincangkan ‘langkah seterusnya dalam rundingan’ berkenaan.
Netanyahu mengesahkan matlamatnya adalah untuk tentera masuk ke Rafah di selatan Gaza, walaupun wujud kebimbangan tindakan itu ke atas ratusan ribu orang awam yang sudah melarikan diri ke sana demi mengelakkan pengeboman.
Seorang wartawan AFP di Rafah dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya enam serangan udara berlaku di bandar itu pada petang Sabtu.
Perang dilancarkan tentera Israel melalui udara, darat dan laut terhadap Hamas sejak 7 Oktober lalu, membunuh sekurang-kurangnya 29,606 orang, kata Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.
Kira-kira 250 tebusan Israel diambil, dengan 130 masih berada di Gaza, walaupun kira-kira 30 dianggap mati, kata Israel.
Sebelum ini, penangguhan seminggu pertempuran pada November lalu yang menyaksikan lebih 100 tebusan dibebaskan, termasuk 80 warga Israel sebagai pertukaran untuk kira-kira 240 rakyat Palestin yang dipenjara di Israel.
Manakala, Netanyahu sebelum ini, menyifatkan tuntutan Hamas untuk gencatan senjata di Gaza sebagai ‘pelik’ dan beliau berikrar meneruskan kempen ketenteraan sehingga ‘kemenangan total’ ke atas kumpulan itu dicapai.
Ketua tentera Israel, Herzi Halevi yang melawat Semenanjung Gaza turut dilaporkan berkata, tindakan ketenteraan adalah cara paling berkesan untuk mendapatkan kembali tebusan.
“Pertempuran adalah ‘leverage’. Kita perlu teruskan dan menerapkannya dengan kuat untuk menggunakannya bagi membebaskan tebusan,” katanya kepada tentera Israel. – 25 Februari, 2024