Ya, pemimpin pembangkang dijemput ke Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, undangan sudah diberi: Asyraf

Ia sejajar dengan arahan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin pemimpin pembangkang turut dijemput

1:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun berbeza fahaman politik, pemimpin pembangkang turut dijemput menghadiri Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dianjurkan Kerajaan Perpaduan pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, surat jemputan rasmi berhubung acara bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu sudah diberikan kepada pihak parti politik berkenaan.

Katanya, ia sejajar dengan arahan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin pemimpin pembangkang turut dijemput.

“Kongres Ekonomi Bumiputera bukan hanya eksklusif kepada orang tertentu tetapi (dibuka) kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

“(Jadi) Ya kita sudah jemput semua pemimpin pembangkang, dah bagi surat rasmi, itu arahan Perdana Menteri sebenarnya,” katanya pada sidang akhbar ketika menjawab soalan adalah jemputan ke acara itu turut diberikan kepada semua parti politik Melayu lain, termasuk pembangkang.

Menjawab adakah pihak berkenaan sudah membalas jemputan itu sama ada akan hadir atau sebaliknya, Asyraf berkata, beliau belum mempunyai maklumat terkini mengenai perkara itu kerana baharu sahaja pulang daripada urusan rasmi ke Jepun.

“Nanti insya-Allah saya akan buat satu lagi kenyataan berkenaan dengan ini,” katanya.

Kongres bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif itu bermatlamat mencadangkan hala tuju dan pendekatan baharu serta penambahbaikan agenda pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Penganjurannya juga adalah bagi mencadangkan pendekatan baharu untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna.

Anwar dilaporkan berkata, selain membincangkan isu berkaitan ekonomi Bumiputera, KEB 2024 diharap mendapat kerjasama dan sokongan bersama daripada masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan.

Ujarnya, beliau akan mengundang pemimpin dewan perniagaan yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India untuk memberi pandangan dan input berhubung perkara itu supaya KEB 2024 tidak dianggap sebagai eksklusif.

Asyraf berkata, Perdana Menteri akan hadir dan memberi ucapan di penutup kongres berkenaan, selain menerima resolusi secara rasmi pada 2 Mac ini.

Mengulas pertanyaan sama ada resolusi itu akan dibawa ke Parlimen, Asyraf memaklumkan, kemungkinan itu bergantung kepada apa dirumuskan pada kongres berkenaan nanti, termasuk sekiranya ada keperluan untuk apa-apa akta dipinda atau digubal.

“Saya pasti seperti mana tradisi atau apa yang dilakukan (ketika) kongres sebelum ini, kita tak tahu lah, saya tak boleh nak cakap secara pramatang untuk saya nak sebutkan apa hasil kongres kerana masih lagi akan dirumuskan pada hari kongres tersebut.

“Tetapi kalau kita lihat apa yang berlaku pada kongres sebelum ini, ada berkait rapat dengan soal penggubalan akta baru atau pindaan kepada akta ataupun hanya di peringkat administrative (pengurusan) Kabinet perlu luluskan, jadi semua platform ini sudah tentu akan memainkan peranan.

“Contohnya kalau tahun 1968, resolusinya untuk menubuhkan Mara, tahun 1966 dibahaskan di Parlimen diangkat sebagai Akta Mara 1966, jadi saya tak tahu apa yang akan lahir daripada KEB 2024, jadi sudah tentu kalau ia terkait dengan perlunya pindaan akta, perlunya digubal akta baru, kalau ada institusi baru dan sebagainya, itu serba kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap di KEB 2024, Asyraf meminta supaya penganjuran kongres itu sewajarnya tidak dipolitikkan mana-mana pihak, termasuk mereka yang mendakwa kononnya ia seperti menafikan hak rakyat secara keseluruhan dan bukan Bumiputera.

“KEB 2024 dianjurkan kerana kerajaan ingin memfokuskan strategi berkesan bagi memperkasakan agenda dan mengangkat martabat rakyat majoriti, justeru ia tidak sepatutnya dipolitikkan,” katanya. – 24 Februari, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related