114 keluarga di Kampung Sri Makmur tuntut pampasan rumah, dakwa mereka bukan orang luar

Kumpulan penduduk ini berkata, mereka adalah penduduk generasi kedua dan ketiga, justeru mereka juga mempunyai hak untuk mendapat pampasan

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu penduduk setinggan di Kampung Sri Makmur, Gombak, menjadi semakin panas apabila kumpulan yang mewakili 114 keluarga mendakwa mereka juga berhak mendapat pampasan berupa sebuah rumah.

Ini kerana, kata kumpulan itu, mereka adalah penduduk generasi kedua dan ketiga, justeru mereka juga mempunyai hak untuk mendapat pampasan selepas terpaksa berpindah bagi memberi laluan kepada pembinaan kondominium.

Ketua Komuniti Penduduk Kampung Sri Makmur, Mohamad Azhar Ariff, 34, yang mewakili kumpulan itu berkata, adalah tidak relevan untuk menyatakan bahawa mereka adalah orang luar sedangkan kebanyakannya sudah menetap di situ sejak 20 hingga 30 tahun lalu.

Bercakap kepada Scoop, Azhar menegaskan mereka akan menuntut pampasan rumah daripada pemaju iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) termasuk wang tunai sebanyak RM10,000 bagi kos berpindah dan mencari kediaman baru.

“Memang kami akan tuntut (pampasan). Ramai daripada kami merupakan generasi kedua serta ketiga dan rumah di sini sudah bertambah daripada lapan buah pada masa lalu kepada 114 buah ketika ini.

“Kami telah menghantar surat kepada pihak pemaju, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertanyakan mengenai tuntutan wang sebanyak RM10,000 untuk satu keluarga bagi tujuan berpindah dan sebuah rumah sebagai pampasan pada 9 Februari lalu.

“Namun sehingga kini kami tidak mendapat sebarang jawapan,” katanya.

Mesyuarat bersama penduduk kampung pada 17 Februari lalu. Penduduk yang menetap di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu diusir bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium – Gambar ihsan Mohamad Azhar Ariff, 24 Februari, 2024

Azhar juga menegaskan, pemaju sepatutnya bersikap lebih bertimbang rasa kerana kebanyakan penduduk adalah warga emas serta ibu tunggal termasuk golongan asnaf yang turut menetap di situ.

Jelasnya, penduduk boleh berpindah namun keputusan perlu ‘menang-menang’ disebabkan mereka sudah lama menetap di situ dan jika tiada pampasan maka mereka tiada tempat untuk dituju.

Terdahulu, Setiausaha Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail berkata, seramai 350 orang daripada 114 rumah di kampung itu berdepan pengusiran susulan Perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengusiran keluarga terbabit yang menetap di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu adalah bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa pula berkata hanya 23 keluarga yang layak mendapat pampasan kerana mereka merupakan penduduk asal yang menetap di Kampung Sri Makmur.

Noora menegaskan, ini kerana mereka yang lain adalah orang luar yang membeli tanah dan membina rumah di situ.

“Semasa pertama kali mendapat notis pada 2020, memang saya kumpul nama penduduk asal sahaja dan tidak memasukkan nama penduduk yang beli tanah dan baru buat rumah di situ sebab mereka tahu ia tidak ada geran tetapi masih membina rumah di situ.

“Mereka dakwa kerajaan negeri Selangor tidak mahu membantu,’’ katanya yang turut memaklumkan tular mesej dalam kumpulan Whatsapp yang mendakwa Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Rahim Kasdi turut membantu penduduk berkenaan untuk berpindah, baru-baru ini.

Jelasnya, Rahim telah menafikan penularan mesej berkenaan yang turut mendakwa beliau menyediakan lori untuk memindahkan barang penduduk kampung yang kononnya diusir.

“Perobohan rumah hanya dilakukan selepas proses pemilihan nama penduduk yang layak mendapat pampasan sahaja dan ia akan dijalankan selepas hari raya.

Menurut Noora, pampasan penempatan itu adalah di Sri Temenggung Rumah dan telah dijanjikan semasa pertemuan antara wakil kerajaan negeri serta PPSM pada 16 November tahun lalu. – 24 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related