Israel jangan perasan! Posting dinaikkan semula berniat jahat, fitnah: Saifuddin

Tegasnya, dakwaan Malaysia akan menjadi destinasi pengecualian visa untuk Israel tidak akan berlaku

2:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa Malaysia akan menjadi destinasi pengecualian visa untuk Israel.

Dakwaan itu timbul susulan hantaran Wakil Tetap Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon pada 22 September tahun lalu di platform X yang mengatakan kemungkinan Malaysia menjadi destinasi pengecualian visa negara itu yang dikongsikan semula di aplikasi tersebut semalam.

Malah, dalam ciapan tersebut, Danon turut memuatnaik gambar Saifuddin menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 (UNGA 78) di New York, Amerika Syarikat dan memaklumkan dia gembira dengan kehadiran Menteri Dalam Negeri itu.

Semakan Scoop mendapati akaun @kopitiammalaya itu baru saja menyertai platform X pada Disember tahun lalu.

Maklumat yang dikongsi di platform tersebut kebanyakannya mempertahankan Aman Palestin yang mana tiga individu dikaitkan dengan badan bukan kerajaan (NGO) itu, didakwa atas 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram berjumlah keseluruhan RM39.5 juta pada 15 Februari lalu.

Bagaimanapun, Saifuddin menyifatkan individu yang berkongsi semula ciapan tersebut berniat jahat ke atas dirinya dan juga Kerajaan Perpaduan.

“Saya anggap tujuan posting ini dinaikkan semula adalah bertujuan mencipta naratif jahat dan fitnah ke atas saya dan kerajaan Malaysia.

“Kehadiran saya seperti dalam gambar ini adalah atas kapasiti saya sebagai salah seorang delegasi dan mendengar ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di UNGA,” katanya di platform X, hari ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan dakwaan Malaysia akan menjadi destinasi pengecualian visa untuk Israel tidak akan berlaku.

“Israel, jangan perasan. Sewaktu ucapan di UNGA, Perdana Menteri Malaysia jelas mengkritik sekeras-kerasnya tindakan Israel di hadapan semua!” tegasnya.

Saifuddin antara menteri yang mengiringi Perdana Menteri ke UNGA-78 di New York, AS pada 20 hingga 24 September tahun lalu.

Malam tadi, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tampil di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda bagi memperjuangkan hak rakyat Palestin yang ditindas Israel melalui hujah berdasarkan norma perundangan antarabangsa dan hak asasi manusia.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin dan berpandangan bahawa ICJ mempunyai peranan khusus untuk memberi panduan dalam persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Palestin.

Tegasnya, dasar dan amalan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki telah melanggar undang-undang antarabangsa di samping mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.

“Malaysia berpendirian bahawa pendudukan (occupation) Israel ke atas Wilayah Palestin (yang diduduki) adalah menyalahi undang-undang dan perlu dihentikan serta-merta.

“Malaysia menekankan Israel perlu menghentikan pencabulan berterusan ke atas hak rakyat Palestin dan keluar dari Wilayah Palestin yang diduduki dengan serta-merta,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa semua negara agar tidak berkompromi dengan tindakan dan pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin di samping menekankan kewajipan PBB untuk melaksanakan tanggungjawabnya berhubung isu Palestin. – 23 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related