KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tampil di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda malam tadi bagi memperjuangkan hak rakyat Palestin yang ditindas Israel melalui hujah berdasarkan norma perundangan antarabangsa dan hak asasi manusia.
Beliau berkata, Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin dan berpandangan bahawa ICJ mempunyai peranan khusus untuk memberi panduan dalam persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Palestin.
Tegasnya, dasar dan amalan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki telah melanggar undang-undang antarabangsa di samping mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.
“Malaysia berpendirian bahawa pendudukan (occupation) Israel ke atas Wilayah Palestin (yang Diduduki) adalah menyalahi undang-undang dan perlu dihentikan serta-merta.
“Malaysia menekankan Israel perlu menghentikan pencabulan berterusan ke atas hak rakyat Palestin dan keluar dari Wilayah Palestin yang diduduki dengan serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, beliau menggesa semua negara agar tidak berkompromi dengan tindakan dan pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin di samping menekankan kewajipan PBB untuk melaksanakan tanggungjawabnya berhubung isu Palestin.

“Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
“Ia berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB,” katanya.
Selain Malaysia, lebih 50 negara dan tiga Badan Pertubuhan Antarabangsa telah menyertai Sesi Pendengaran Awam tersebut.
Semasa di The Hague, Mohamad mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin, TYT Riad Malki dan membincangkan mengenai situasi terkini di wilayah bergolak itu.
Mereka sebulat suara bersetuju untuk semua pihak berganding bahu dan mengambil tindakan tegas dalam menghentikan kekejaman di Gaza.
Pada Isnin lalu, Malaysia memulakan tindakan perundangan antarabangsa ke atas Israel dengan memohon Pendapat Nasihat ICJ berkaitan kesan perundangan akibat dasar dan amalan Tel Aviv di Palestin, termasuk di Baitulmaqdis Timur.
Pendapat Nasihat adalah proses penting bagi memperoleh nasihat perundangan daripada ICJ, iaitu badan kehakiman PBB, selaras Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.
Sebelum itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia kesal atas kegagalan Majlis Keselamatan (UNSC) menangani situasi genting di Semenanjung Gaza.
Mengambil kira keadaan di Gaza yang semakin meruncing, terutama serangan besar-besaran oleh Israel di Rafah, jalan penyelesaian yang berkesan untuk menangani krisis itu ialah Majlis Keselamatan PBB melaksanakan gencatan kemanusiaan dengan serta-merta.
“Satu-satunya jalan penyelesaian terbaik terhadap konflik ini ialah melaksanakan Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin. Malaysia mengulangi gesaan supaya Palestin diiktiraf anggota penuh PBB,” menurut Wisma Putra.
Kelmarin, Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan veto terhadap draf resolusi UNSC mengenai perang Israel-Palestin yang menghalang permintaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera, kali ketiga terhadap draf resolusi berkaitan Gaza sejak permulaan konflik pada 7 Oktober lalu.
Seramai 13 anggota majlis mengundi menyokong draf resolusi yang diusulkan Algeria itu, manakala Britain berkecuali. – 23 Februari, 2023