KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz mempersoalkan siasatan rasuah berterusan yang tertumpu kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya, kerana mereka bukan satu-satunya nama disebut dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.
Menurutnya, siasatan ke atas Daim dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, “tidak boleh diputarbelitkan” semata-mata kerana mereka adalah hartawan.
“Teruskan dan siasat mereka (Daim dan Na’imah) tetapi jangan berat sebelah mengenainya (kes).
“Jika anda menyiasat mereka kerana nama mereka ada dalam Kertas Pandora atau Kertas Panama, maka siasat semua yang ada dalam kertas itu, termasuk beberapa menteri dalam Kabinet (kerajaan) anda,” katanya ketika melawat pejabat Scoop, di sini semalam.
Amira, 29, sebelum ini berkata, dia adalah rakan peribadi kepada Na’imah, 67, yang juga anggota Muda.
Pemimpin parti itu juga menjelaskan bahawa dia hadir di Mahkamah Sesyen bulan lepas bagi memberi sokongan kepada Na’imah, sambil menambah dia akan melakukan perkara sama kepada orang lain, selagi mereka menjadi ahli parti.
Diminta mengesahkan sama ada Daim adalah pembiaya utama Muda, Amira enggan memberikan jawapan secara terus.
“Saya tidak bebas mendedahkan semua pembiaya kami dan saya juga tidak tahu jika ada ahli saya mengumpul dana daripada orang lain. Saya tidak boleh mendedahkan itu (siapa yang membiayai Muda), walaupun saya tahu,” katanya.
Amira juga percaya Muda adalah satu-satunya pihak yang mempunyai polisi pembiayaan yang ketat, kerana ia mengehadkan derma maksimum RM200,000 daripada seorang penderma.
Menariknya, Amira juga berkata, tiada seorang pun ahli parti itu mengetahui sumber semua dana yang dikumpul.
“Saya mesti katakan di sini bahawa kita masih percaya bahawa Malaysia memerlukan Akta Pembiayaan Politik.
“Jika wang itu masuk ke dalam akaun (bank parti), tiada seorang pun daripada kami (ahli parti) perlu tahu siapa yang memberi wang itu,” katanya, sambil menambah adalah lebih penting untuk mengetahui bagaimana ia dibelanjakan.
Beliau menambah, dengan ketiadaan Akta Pembiayaan Politik dalam rangka kerja demokrasi negara, Muda, seperti semua parti lain, tidak diwajibkan untuk mendedahkan sumber pembiayaan mereka. – 22 Februari, 2024