KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan bahawa bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud adalah individu pertama yang mendedahkan dan mengajarnya mengenai dunia politik.
Pemimpin wanita itu berkata, justeru pemergian Taib menjadi khabar cukup sedih buatnya kerana beliau seolah-olah sudah kehilangan ‘tenaga pengajar’.
Katanya, setiap jasa dan bakti allahyarham akan terus diingatinya dan tidak akan sesekali dilupakan.
“Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali.
“Secara peribadi, kenangan yang tidak akan saya lupa adalah di mana allahyarham adalah insan pertama mengajar saya dalam menyertai bidang politik, iaitu sebagai Ahli Parlimen sekitar tahun 2008.
“Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala jasa dan bakti allahyarham,” katanya menerusi Facebook.
Nancy berkata, pemergian Taib juga adalah kehilangan besar bukan sahaja buat Sarawak, malah negara.
“Allahyarham mengabdikan sepanjang perjalanan hidupnya untuk membangun dan mensejahterakan Sarawak,” katanya.
Taib, 87, meninggal dunia awal pagi ini di hospital pakar jantung, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) di sini, susulan masalah kesihatan dihadapinya.
Perkara itu dikongsikan menerusi Facebook anak Allahyarham yang juga Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
“Kembalinya ayahanda Hanifah Hajar Taib yang dikasihi, Tun Abdul Taib kepada penciptanya kira-kira jam 4.40 pagi tadi.
“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak,” katanya. – 21 Februari, 2024