KUALA LUMPUR – Pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud menerima ucapan takziah daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin kerajaan dan bekas pemimpin yang menyifatkan ia sebagai kehilangan untuk negeri berkenaan serta negara.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil berkata, ketika memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham mempunyai banyak jasa terhadap pembangunan dan permodenan negeri.
“Sudah pasti kesan daripada pentadbiran dan tempoh beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan dan permodenan Sarawak, sehingga apa yang kita lihat hari ini.
“Pemergian Allahyarham sudah pasti cukup mendukakan dan hiba…penting juga untuk kita kenang jasa bakti Allahyarham,” katanya kepada Bernama Radio.
Menerusi X (dahulu dikenali sebagai Twitter) pula, Fahmi berkata, bagi pihak Kementerian Komunikasi, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Taib.
“Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Taib, 87, meninggal dunia awal pagi ini di hospital pakar jantung, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) di sini, susulan masalah kesihatan dihadapinya.
Perkara itu dikongsikan menerusi Facebook anak allahyarham yang juga Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
“Kembalinya ayahanda Hanifah Hajar Taib yang dikasihi, Tun Abdul Taib kepada penciptanya kira-kira 4.40 pagi tadi.
“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak,” katanya.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi pengendali Facebook berkata, sebagai pemimpin negeri, Taib dikenali sebagai seorang pemimpin yang mempunyai hubungan akrab dengan kepimpinan Persekutuan, sekali gus nilai itu berjaya membawa pembangunan berterusan.
Justeru, beliau menyifatkan pemergian Taib adalah kehilangan besar kepada politik dan negeri berkenaan.
“Innalillahwainnailaihirojiun. Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sudah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.
“Sepanjang masa berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak dan kemudian sebagai Yang di-Pertua Sarawak, hubungan yang akrab dengan pentadbiran Persekutuan dan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu, membawa pembangunan berterusan.
“Sarawak kehilangan seorang tokoh politik dan pemimpin yang dihormati,” katanya di Facebook.
Najib turut mengucapkan takziah kepada rakyat Sarawak dan ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kuching, melahirkan dukacita di atas khabar sedih berhubung pemergian Taib awal pagi ini.
Menurut konsulat itu, pihaknya mendoakan semoga amal ibadah Taib diterima Allah SWT dan keluarganya diberi kesabaran dalam menghadapi situasi berkenaan.
“Turut berduka cita atas meninggalnya Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
“Semoga amal ibadah beliau diterima Allah SWT dan keluarganya diberi kesabaran,” katanya menerusi kenyataan ringkas di laman sesawang konsulat.
Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kuching adalah perwakilan yang memainkan tugas utama meningkatkan konsuleran, ekonomi dan sosial dengan Sarawak.
Ia juga berperanan melayani warga Indonesia yang bekerja serta tinggal di Kuching, Sarawak.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan jasa dan pengorbanan Abdul Taib untuk negara khususnya Sarawak amat besar.
“Sepanjang hayatnya Allahyarham sentiasa memastikan hubungan di antara negeri serta Pusat kekal utuh demi kemakmuran negara terus berkekalan.
“Kita semua amat merasai kehilangan seorang tokoh yang tidak henti menabur bakti terhadap tanah tumpah darahnya.
“Salam takziah buat keluarga dan seluruh rakyat negeri Sarawak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya di Facebook.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut meluahkan kesedihan menerusi media sosial, dengan menyifatkan Taib seorang tokoh yang banyak membantu dalam membangunkan negara dan negeri.
“Amat berdukacita menerima berita pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menghembuskan nafas terakhir di Kuala Lumpur awal pagi tadi. Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Tun dan didoakan semoga diberi kekuatan menempuh dugaan ini.
“Negara dan Sarawak khususnya, kehilangan salah seorang tokoh cukup disegani serta dihormati yang banyak membantu dalam pembangunan negara dan Bumi Kenyalang.
“Semoga keluarga Allahyarham Tun Pehin Sri diberikan kekuatan menghadapi kehilangan ini,” kata pemimpin berasal dari Sarawak itu. – 21 Februari, 2024
BERITA LANJUT MENYUSUL