Pemimpin, pengikut ‘Kerajaan 9’, SiHulk, The Ahmadi antara dalam radar Bukit Aman

Biarpun ada yang telah ditahan, masih terdapat saki-baki pengikut mereka di dalam negara ini

12:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dari ‘Kerajaan 9’ yang konon didirikan individu daripada jalur keturunan Nabi Muhammad SAW sehingga kepada ajaran SiHulk yang mendakwa Rasulullah adalah Allah SWT serta entiti yang sama, semuanya berada dalam radar Bukit Aman, dipercayai boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Ia termasuk gerakan The Ahmadi Religion of Peace and Light, Millah Abraham @ Ibrahim dan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir.

Malah Bukit Aman turut memantau aktiviti Tarekat Habib Shah serta Nur Mutiara Mutmainnah yang masih terdapat saki-baki pengikut mereka di dalam negara ini.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Bukit Aman sentiasa bekerjasama dengan jabatan agama Islam negeri atau pihak berkuasa agama bagi mengekang apa jua bentuk ajaran baharu atau cubaan mengelirukan ajaran Islam.

Ini katanya, termasuk cubaan pihak luar yang datang ke negara ini untuk merekrut penduduk tempatan bagi menjadi kader-kader ajaran menyimpang.

“Untuk tempoh tiga tahun ini, lebih 50 laporan polis kita terima berkaitan aktiviti kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.

“Lebih 20 individu sudah kita tahan dalam tempoh berkenaan termasuk terbaharu pengikut kumpulan SiHulk,” katanya hari ini.

Beliau menambah, untuk tahun mendatang yang lebih mencabar ini, Bukit Aman akan turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyekat penyebaran ajaran sesat khususnya di media sosial.

Terdahulu beliau berkata, Bukit Aman sedang memantau rapat gerakan individu mendakwa daripada jalur keturunan Rasulullah SAW termasuk beberapa madrasah yang aktif mempromosi gerakan individu berkenaan.

Kumpulan itu sedang membina perkampungan dikenali ‘Kerajaan 9’ di sebuah negeri kononnya bagi menghadapi persiapan akhir zaman.

Razarudin berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu.

Ditanya sama ada individu berkenaan akan disekat daripada memasuki negara ini, katanya, semuanya akan dimaklumkan selepas siasatan lanjut diadakan.

Sebelum ini, Razarudin berkata, lima ‘wanted’ disenaraikan sebagai paling dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka adalah pengasas serta pengikut ajaran sesat SiHulk yang kini bersembunyi di New Zealand.

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 memutuskan ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Baru-baru ini tular beberapa video memaparkan individu mengeluarkan kenyataan dan ungkapan menyeleweng daripada ajaran Islam dipercayai pengikut ajaran yang dibawa oleh SiHulk.

Satu video yang kembali menjadi tular tersebut dimuat naik melalui akaun Facebook Nurul Sakinah yang bertajuk ‘Nabi Muhammad itu adalah Allah’.

Dalam pada itu, ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light percaya kewujudan 12 Imam Mahdi selain percaya lokasi sebenar Kaabah terletak di Petra, Jordan dan bukan di Makkah, Arab Saudi.

Bagi pengikut ajaran Millah Abraham @ Ibrahim pula, mereka hanya perlu membayar wang untuk bertaubat selain menuntut cerai ke atas pasangan yang tidak menyertai gerakan dan menggunakan kelas al-Quran dalam talian bagi menarik pengikut baharu.

Ajaran sesat itu difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 September 2015.

Ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir dibawa oleh seorang wanita dikenali sebagai ‘Sittah Annur’.

Namun pada 2021, Sittah Annur telah ditahan polis dan sebelum ini mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad SAW. – 21 Februari, 2024

Topics

Hangat

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Buddhist leader urges calm, constructive actions following offensive football fan posts

He acknowledges that posts were unkind, unprofessional, but no plans to lodge additional police reports

Related