KUALA LUMPUR – Nombor plat kenderaan keluaran khas ‘GOLD 1’ menjadi milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas membida nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM1.5 juta.
Menurut hantaran di media sosial rasmi Seri Paduka, nilai tersebut akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Terdahulu Seri Paduka berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Istana Negara hari ini.
Dalam pertemuan itu, Loke turut mempersembah secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.
Pada 30 Januari lalu, Loke mengumumkan bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri GOLD sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 dilaksanakan pada 1 hingga 5 Februari.
NPI ialah tanda indeks yang mempunyai prefix (hadapan) iaitu siri GOLD yang melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.
Katanya, bidaan bagi siri NPI adalah bertujuan untuk menambah hasil negara iaitu kesemua hasil bidaan NPI akan dimasukkan ke dalam akaun disatukan dengan 50 peratus daripada hasil tersebut akan dikembalikan semula kepada Kementerian Pengangkutan. – 20 Februari, 2024