Pendengaran awam isu Palestin ICJ: Malaysia kemuka hujah pendudukan Israel haram, bertentangan undang-undang antarabangsa

Malaysia kekal komited berdasarkan kemampuan dan keupayaannya, mencari jalan penyelesaian berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa

11:16 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pendirian teguh Malaysia bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negaranya, tidak pernah berganjak.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga kekal komited berdasarkan kemampuan dan keupayaannya, mencari jalan penyelesaian berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa, seperti turut ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Malaysia juga akan sentiasa meneruskan usaha untuk memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, Mohamad berkata, pada prosedur sesi pendengaran awam untuk mendapatkan Pendapat Nasihat berhubung isu Palestin diadakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Peace Palace, The Hague dari 19 hingga 26 Februari ini, Malaysia akan membantu ICJ meneliti persoalan perundangan yang dikemukakan Perhimpunan Agung PBB.

“Saya akan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi pendengaran awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ berkaitan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, termasuk Baitul Maqdis Timur yang akan diadakan di Peace Palace, The Hague dari 19 hingga 26 Februari 2024.

“Sebelum sesi pendengaran awam ini, Malaysia menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan kenyataan bertulis kepada ICJ pada 25 Julai 2023. Kenyataan bertulis Malaysia menekankan hujahan berkaitan dasar dan tindakan Israel, termasuk pendudukan (occupation) berterusan, kebebasan daripada gangguan (freedom from disturbance), penyelesaian penempatan (settlement) dan penaklukan (annexation) di dalam wilayah Palestin yang mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri dan ketenteraman.

“Kenyataan terbabit juga menegaskan bahawa pendudukan Israel adalah haram dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Saya akan mendalami aspek hujahan-hujahan ini semasa membentangkan kenyataan lisan Malaysia pada 22 Februari 2024,” katanya menerusi kenyataan.

Penyertaan Mohamad ke sesi itu diiringi beberapa pegawai daripada Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara.

Kenyataan lisan Malaysia itu dijangka dibuat pada jam 5.10 petang waktu tempatan, iaitu 12.10 tengah malam, 23 Februari waktu Malaysia.

Mengulas mengenai permohonan ICJ bagi mendapatkan Pendapat Nasihat itu, Mohamad berkata, ia terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung PBB ‘Freedom from disturbance PBB’ yang diterima pakai pada 30 Disember 2022.

Ujarnya, Malaysia menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

Beliau berkata, penyertaan dalam prosedur Pendapat Nasihat itu melambangkan usaha bersepadu Malaysia di pelbagai platform antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) bagi menyokong Palestin serta membawa Israel ke pengadilan.

“Sebagai sebuah negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin, kehadiran Malaysia di ICJ adalah penting untuk berganding bahu bersama-sama negara sepemikiran dalam mempertahankan isu kemanusiaan sejagat.

“Ia juga adalah selari dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang sentiasa bersuara lantang dalam mempertahankan hak rakyat Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

“Perdana Menteri sentiasa menekankan tanggungjawab moral komuniti antarabangsa untuk menangani kekejaman dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, terutamanya golongan wanita dan kanak- kanak,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, Pendapat Nasihat itu adalah prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023.

Jelasnya, permohonan Afrika Selatan difailkan atas dakwaan pencabulan Israel di bawah Konvensyen Genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, khususnya yang berlaku sejak 7 Oktober 2023.

Manakala, prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat itu pula, katanya, adalah ekoran daripada permohonan dibuat Perhimpunan Agung PBB.

“Pendapat Nasihat adalah satu proses penting bagi memperolehi nasihat perundangan daripada ICJ, iaitu badan kehakiman PBB, selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

“Pendapat Nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar, selain menyumbang kepada pemahaman serta pembangunan undang-undang antarabangsa yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan di antara negara,” katanya.

Mohamad berkata, penyertaan Malaysia di sesi pendengaran awam berkenaan adalah bagi kali kedua secara langsung dalam prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ bagi menyokong Palestin.

“Pada 2004, Malaysia menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di dalam Wilayah Pendudukan Palestin yang mana ICJ memutuskan, bahawa tindakan Israel adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Dalam prosiding Pendapat Nasihat kali ini, Mohamad berkata, Perhimpunan Agung PBB mengemukakan beberapa persoalan perundangan bagi ICJ memberikan pendapatnya.

“Persoalan diajukan adalah pertama, kesan perundangan yang timbul akibat pencabulan berterusan Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri (self-determination), manakala kedua dasar dan tindakan Israel yang memberi kesan terhadap status perundangan pendudukan Israel tersebut.

“Ketiga, kesan perundangan kepada semua negara dan PBB hasil pendudukan terbabit.

“Malaysia menyertai prosedur Pendapat Nasihat ini bagi membantu ICJ meneliti persoalan perundangan dikemukakan PBB,” katanya. – 20 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Related