KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak keluasan tanah yang digazetkan untuk tujuan penanaman padi agar bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi dalam pasaran serta tidak terlalu bergantung kepada beras import.
Bercakap kepada Scoop, Pensyarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Mohd Rafii Yusop berpendapat, banyak tanah yang dilihat bersesuaian untuk projek penanaman dan penuaian padi yang boleh diteroka secara lebih meluas terutama di Sabah dan Sarawak.
Tegas beliau, ini sekali gus dapat meningkatkan peratusan pengeluaran beras tempatan yang kini berada pada paras 63 peratus.
“Sekarang bekalan beras tempatan hanya mampu menampung sebanyak 63 peratus manakala baki 37 peratus, negara kita bergantung kepada bekalan import dari Thailand dan Vietnam.
“Negara kita hanya keluarkan untuk dua musim penuaian yang melibatkan keluasan tanah sawah lebih kurang 390,000 hektar menjadikan jumlah keseluruhan untuk dua musim setahun dalam 680,000 hektar keluasan tanah yang boleh keluarkan hasil tuaian.
“Bagi meningkatkan peratusan bekalan itu, kerajaan perlu berusaha menyediakan tanah yang digazetkan bagi penanaman padi dan sawah. Kalau kita tengok, banyak lagi kawasan di Sabah dan Sarawak yang boleh diterokai untuk dijadikan penanaman padi, malah tanah di Rompin dan Pekan, Pahang pun dilihat sesuai untuk dimajukan sebagai sawah padi,” katanya hari ini.
Mohd Rafii berkata, antara alternatif lain yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran beras adalah dengan mengkaji benih tanaman, penyediaan tanah serta pengurusan selepas proses penuaian agar tiada sebarang kerosakan pada bekalan beras sedia ada.
“Antara alternatif yang boleh diusahakan ialah dengan meningkatkan produktiviti dari segi keluasan hektar. Sekarang pengeluaran bagi setiap hektar lebih kurang 4.2 tan dan kalau dapat tingkatkan kepada 6 tan, jadi kita dapat meningkatkan keperluan negara.
“Sekarang, kita ada 12 jelapang padi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kalau pengusaha dapat meningkatkan (kualiti) benih tanaman, mengelak banyak beras rosak akibat diganggu serangga perosak dan pengurusan selepas proses menuai dijalankan secara efektif, secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti bekalan beras yang boleh dipasarkan kepada pengguna,” katanya.
Sebanyak 12 jelapang padi negara termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) dan sebagainya.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, satu Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan isu kos sara hidup terutama bekalan beras.
Beliau berkata, kementeriannya selaku urusetia Naccol telah mendapat pengesahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa satu daripada perkara diangkat untuk pertimbangan adalah berkaitan bekalan beras negara. – 20 Februari, 2024