Pindaan RUU355 bawah bidang kuasa DUN, bukan Parlimen: Haniff Khatri

Adalah tidak adil sekiranya negeri miskin dan negeri maju mempunyai hukuman denda yang sama

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peguam terkemuka, Haniff Khatri Abdulla berpendapat pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 berada di bawah bidang tugas Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak perlu melalui Parlimen.

Bercakap kepada Scoop, Haniff berkata, hujahannya itu berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan menyatakan menjadi bidang kuasa negeri untuk menggubal undang-undang serta hukuman jenayah syariah.

Beliau memetik Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, menganugerahkan bidang kuasa jenayah syariah hanya ke atas orang Islam dan hanya terhad kepada kesalahan dilakukan orang Islam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mengadakan hukuman terhadap kesalahan berkenaan.

“Memandangkan Mahkamah Syariah di bawah bidang kuasa DUN dan kesalahan jenayah syariah di mana-mana negeri pun digubal DUN, jadi ia amat songsang dan salah dari sudut perlembagaan hukuman ke atas Akta 355 jenayah syariah negeri ditentukan oleh Parlimen di peringkat Persekutuan.

“Akta 355 yang digubal oleh Parlimen dan menetapkan hukuman di Mahkamah Syariah sebagai tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan telah digubal pada 1965, iaitu 23 tahun sebelum pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan Perkara 121(1A) yang mula iktiraf Mahkamah Syariah sebagai mahkamah yang bebas dan selari dengan Mahkamah Sivil.

“Jadi berkaitan Akta 355 itu, bukankah Parlimen telah mencampuri secara salah akan bidang kuasa gubalan hukuman, yang dikhususkan untuk negeri?” soalnya ketika dihubungi hari ini.

Haniff berkata, tindakannya mempersoal kewajaran Parlimen ‘campur tangan’ dalam penggubalan pindaan Akta 355 adalah ‘valid’ selain beliau turut berharap kekeliruan mengenai hal itu dapat dirungkai oleh pihak berkaitan.

“Pandangan yang saya utarakan ini telah saya bangkitkan melalui perbincangan dalam pelbagai wacana dan majlis ilmiah dan saya percaya belum diselidik atau dikaji oleh pihak-pihak yang berkenaan.

“Saya syorkan ia dilakukan dengan segera supaya sistem tadbir urus negara berhubung undang-undang jenayah syariah secara keseluruhannya adalah berpaksikan kepada asas yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau seperti dalam kes Iki Putra dan Nik Elin, Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan membatalkan penggubalan beberapa peruntukan jenayah syariah negeri kerana DUN telah salah masuk bidang kuasa Parlimen untuk menggubalnya, maka bukankah berkaitan Akta 355 itu pula boleh dikatakan Parlimen juga telah salah campur kuasa gubalan hukuman DUN?” soalnya.

Berkenaan pindaan Rang Undang-Undang Akta 355 (RUU355), Haniff berpandangan, kenaikan hukuman maksimum jenayah syariah wajar dibentang dan diluluskan dengan kadar segera agar ia dapat diseragamkan kepada masyarakat di setiap negeri masing-masing.

“RUU355 wajar dibentang dan diluluskan untuk kenaikan hukuman maksimum kepada satu jumlah penjara denda dan sebatan yang lebih sesuai dengan kehendak masyarakat untuk diseragamkan.

“Sebab itu saya kata hukuman jenayah syariah terletak pada bidang kuasa DUN, kerana adalah tidak adil sekiranya negeri miskin dan negeri maju mempunyai hukuman denda yang sama. Ia harus berlandaskan kepada keputusan DUN itu sendiri untuk menentukan kadar hukuman yang dirasakan bersesuaian.

“Jadi ia perlu dipinda secepat mungkin untuk menaikkan kadar hukuman supaya selepas ini orang ramai tidak mengatakan hukuman Mahkamah Syariah terlampau sikit dan tidak relevan, seperti mana di Mahkamah Sivil,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pindaan terhadap RUU355 dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Pihaknya akan membawa semula cadangan pindaan RUU 355 kepada Kabinet dan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media sebelum ini melaporkan kertas cadangan RUU itu sudah berada di peringkat Jabatan Peguam Negara, namun tidak sempat dibentangkan berikutan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.

Pada 2016, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengemukakan pindaan kepada RUU355 sebagai rang undang-undang persendirian.

Pindaan itu bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan syariah dengan meningkatkan had hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000, dan 100 sebatan rotan.

Pada masa itu, had berkenaan adalah hukuman penjara selama tiga tahun, denda RM5,000, dan enam sebatan rotan. – 20 Februari, 2024

Topics

Hangat

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Daim, Na’imah and family take Anwar, MACC to court over seized bank accounts

In court documents, they allege PM exerted influence on graft busters for his ‘personal agenda’ against them

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related