KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini untuk rawatan jangkitan yang dihidapinya tidak berada dalam keadaan kritikal.
Menurut sumber, Dr Mahathir ‘sedar’ dan dalam keadaan stabil, berbeza dengan khabar angin yang tular di media sosial.
Sumber itu juga memaklumkan bahawa IJN dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai keadaan Dr Mahathir dalam masa terdekat.
Pada 13 Februari lalu, Dr Mahathir dilaporkan akan menjalani tempoh berehat selepas dirawat di IJN kerana jangkitan.
Ia susulan bekas Ahli Parlimen Langkawi berusia 98 tahun itu dimasukkan ke IJN pada 26 Januari lalu.
Pada Ogos tahun lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau dimasukkan ke IJN untuk rawatan berkaitan jangkitan.
Sebelum itu, Dr Mahathir dilaporkan dimasukkan ke IJN pada September 2022 selepas dijangkiti Covid-19. – 19 Februari 2024