KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan kes Datuk Seri Najib Razak memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tidak semua dokumen diperoleh daripada bidang kuasa asing berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), diterima pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu.
Ia susulan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin mengakui beberapa dokumen melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dari Hong Kong dan Switzerland tidak diserahkan kerana tidak relevan dengan siasatannya.
Dalam keterangannya, Nur Aida yang juga saksi pendakwaan ke-49 memaklumkan, kesemua dokumen MLA diperoleh daripada bidang kuasa Singapura, Hong Kong, Barbados dan Switzerland.
“Saya nak tanya soalan yang agak terlalu kita boleh nampak, saya katakan di sini, ada satu hingga 527 kalau kita tengok ‘certificate’ tapi yang ditunjuk di sini adalah daripada 522 hinggalah 527. Apa jadi dengan yang lain?” Soal peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sesi soal balas saksi.
“Ada dalam simpanan saya, tidak kemukakan ke dalam mahkamah ini kerana bagi saya tidak relevan dengan kes yang saya siasat,” jawab Nur Aida.
Bagaimanapun, Shafee bertanya pula mengapa pihak Nur Aida tidak mengemukakan certificate lain itu kepada pihak pembelaan supaya pihak pembelaan yang membuat keputusan, sama ada ia relevan untuk pembelaan atau tidak.
Nur Aida menyatakan bahawa mengikut pemerhatiannya kepada dokumen itu, beliau berpendapat certificate yang lain berkenaan tidak relevan untuk kes 1MDB
“Saya sudah taklimatkan kepada pasukan pendakwaan di sini dan pasukan pendakwaan mengkaji dan bersetuju hanya dokumen saya cadangkan kepada mereka untuk dikemukakan kepada mahkamah,” kata pegawai itu.
Pada sesi sama, Shafee mempersoal keterangan saksi itu berhubung 23 dokumen yang diperoleh dari Switzerland kerana ia didakwa mempunyai tarikh bercanggah.
Dalam keterangannya, Nur Aida berkata, beliau menerima dokumen dari Switzerland sebanyak enam kali bermula 28 Januari 2019 dalam bentuk cekera padat (CD).
Ketika peguam merujuk saksi kepada dokumen terbabit, didapati tarikh tertera adalah Mac 2019.
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, selain 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan dibuat di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Semasa prosiding kes itu beberapa hari lalu, Nur Aida tidak bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa tuduhan dikenakan ke atas Najib adalah ‘cacat’.
Menurut Nur Aida, pihaknya membuat permintaaan daripada kerajaan Singapura untuk mendapatkan dokumen melalui MLA terbabit sebelum Najib didakwa.
Sebahagian besar dokumen itu, katanya, diperoleh sebelum pendakwaan dikemukakan terhadap Najib.
Cadangan itu dikemukakan Shafee kerana menurutnya sebahagian besar dokumen melalui dari Singapura, hanya diperoleh selepas anak guamnya didakwa pada 2018.
Menurut peguam itu, kebiasaannya seseorang hanya didakwa apabila pegawai penyiasat melihat kepada semua dokumen dan berpuas hati bahawa mereka mempunyai kes. – 19 Februari, 2024