KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Datuk Mutang Tagal hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu.
Dalam Mesyuarat Khas Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-15, Dewan Negara, pelantikan beliau dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipersetujui ahli dewan.
Terdahulu cadangan Anwar itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Mutang sebelum itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara disaksikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau menggantikan Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan pada 26 Januari lalu.
Dalam ucapan sulungnya selepas pelantikan tersebut, Mutang berkata, perundangan adalah bidang yang dekat di hatinya, maka pengalaman dan pengetahuan sebagai pengamal undang-undang akan digunakan sebaiknya bagi terus memperkasa dan memartabatkan lagi kedudukan Dewan Negara dan Parlimen sebagai badan legislatif seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan meneruskan agenda transformasi yang telah dirancang termasuk pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan-pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, menambahbaik Peraturan Mesyuarat ataupun Standing Orders dan juga pewujudan Kod Etika Ahli Parlimen.
“Doktrin pengasingan kuasa ini bukan sesuatu yang baru, ia merupakan fundamental kepada Parlimen Malaysia sebagai satu-satunya badan yang meluluskan undang-undang dan dasar negara.
“Di dalam semangat yang sama, suka saya ingatkan bahawa fungsi ini juga datang bersama tanggungjawab kepada Dewan Negara sebagai mekanisme semak dan imbang, bukan sahaja kepada badan Eksekutif tetapi juga kepada Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau percaya setiap Ahli Dewan Negara yang membawa kredibiliti profesional masing-masing akan terus memastikan setiap undang-undang yang dibentang dan dibahas untuk kelulusan dewan bukan sahaja memberi manfaaat dan melindungi hak semua rakyat Malaysia, malah ia juga telah mengambil kira semua implikasi pelaksanaan.
Katanya, Dewan Negara sebagai ‘the Upper House’ harus sentiasa mengekalkan kredibiliti dan prestij di dalam perbahasan sesebuah Rang Undang-Undang yang telah diluluskan di Dewan Rakyat.
“Saya menyeru setiap Ahli Dewan Negara agar berbahas dengan substance, secara konstruktif dan tegas menyatakan pendirian berlandaskan bidang kepakaran masing-masing, walaupun pendirian itu ada kalanya tidak selari dengan keputusan di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau kemudiannya mengimbau kenangan apabila pernah berada di Parlimen pada 1990 semasa berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, yang kini dikenali sebagai Lawas dan Limbang.
Katanya, walaupun tidak lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, beliau masih berpeluang berkhidmat kepada rakyat, khususnya rakyat di negeri Sarawak.

Mutang merupakan suku kaum Lun Bawang dari Lawas di utara Sarawak dan seorang pengamal undang-undang.
Dilahirkan pada 5 Oktober 1954, beliau berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990.
Beliau merupakan lepasan Bachelor Undang-Undang dari Universiti Malaya dan kemudiannya melanjutkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Curtin University.
Pada 12 Januari 2017, beliau dilantik sebagai Konsul Kehormat Romania di Sarawak.
Pada tahun yang sama, beliau dianugerahkan Darjah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mengahwini Datin Ho May Leng dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Mutang juga adik kepada bekas Menteri Muda Komunikasi Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pertama Ba’Kelalan, Mendiang Datuk Judson Sakai Tagal.
Mendiang maut dalam nahas helikopter di hutan tebal Ba’Kelalan pada 12 Julai 2004. – 19 Februari, 2024