KUALA LUMPUR – Tiga persoalan dibangkitkan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah dalam permohonan semakan terhadap perintah penahanan pasport beliau yang dikenakan Mahkamah Sesyen pada Januari lalu.
Menurutnya, satu daripada perkara itu adalah perintah berkenaan dikenakan mahkamah walaupun tiada bukti dikemukakan pihak pendakwaan mengenai risiko melarikan diri atau menghilangkan diri.
Na’imah turut mempersoalkan sama ada perintah pasport itu, boleh dibuat tanpa sebarang material dikemukakan pendakwaan dan adakah fakta kes terbabit mewajarkan perintah berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam permohonan semakan terhadap perintah itu mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah menerusi surat diserahkan oleh Tetuan Raj & Sach kepada Mahkamah Tinggi, di sini.
“Memandangkan tiada sebarang bukti, alasan bernas atau dokumen dirujuk pihak pendakwaan, maka tiada sebarang bukti di hadapan mahkamah bahawa untuk membolehkan mahkamah mengenakan syarat bahawa pasport perlu diserahkan.
“Kami ingin menekankan bahawa pada hari pertuduhan, tiada sebab atau asas diberikan bagi pengambilan pasport dan walaupun peguam tertuduh memberi alasan untuk membantahnya, mahkamah masih memerintahkan supaya pasport tertuduh ditahan sebagai syarat jaminan.
“Perintah diberikan walaupun berdasarkan rekod mahkamah hanya pihak tertuduh yang memberi alasan untuk membantah permohonan pendakwaan,” katanya.
Justeru, katanya, mahkamah terkhilaf daripada segi undang-undang dan fakta apabila membuat perintah untuk rampasan pasport tertuduh.
Perintah itu, juga, tegasnya, adalah tidak seimbang (disproportionate) dan menyebabkan ketidakadilan berat (serious injustice) atau pelanggaran prinsip keadilan serius (miscarriage of justice).
“Kami menyatakan bahawa hak kepada pasport adalah hak berperlembagaan berdasarkan Perkara 5(1) dan 9 Perlembagaan Persekutuan.
“Alasan kukuh harus diberikan di mana perintah untuk penahanan pasport tidak wajar dibenarkan secara rutin atas permintaan pendakwaan,” katanya.
Na’imah kini berdepan dakwaan tidak mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta.
Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan itu yang 12 harta, termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Azura membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Pada 16 Februari lalu, peguam mewakili Na’imah, iaitu Rajesh Nagarajan memaklumkan kepada media bahawa tertuduh memohon mahkamah memulangkan pasport miliknya.
Rajesh turut mengesahkan bahawa permohonan semakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pendengarannya ditetapkan pada 19 Februari.
Bagaimanapun, dalam prosiding kes itu hari ini, Na’imah terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya apabila pendengaran kes berkenaan ditetapkan bulan depan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache mengarahkan hujahan bertulis difailkan pada 4 Mac ini, manakala 11 Mac ditetapkan untuk kedua-dua pihak berbalas hujahan.
Beliau menetapkan 13 Mac untuk pendengaran kes permohonan pasport itu.
Timbalan Pendakwaraya adalah Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.
Na’imah pula diwakili M Puravalen, Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Nizamuddin Hamid. – 19 Februari, 2024