KUALA LUMPUR — Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan beliau menjalani pembedahan tulang belakang dan akan berada di hospital untuk tempoh dua minggu lagi.
Ketika menjelaskan perkara itu, Rafizi memberitahu, pembedahan tersebut bagi memotong sebahagian ligamen dan slipped disc bertujuan membuka ruang kepada saraf, dan ia berjalan dengan baik.
Beliau juga sudah boleh berjalan semula dan akan masuk ke pejabanya pada bulan depan.
“Pada minggu ketiga Januari 2024, saya kena Covid (buat kali pertama). Saya tidak pernah kena Covid sebelum itu.
“Akibat terlantar beberapa hari, tekanan ke atas tulang belakang menyebabkan berlaku slipped disc. Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit (menyakitkan).
“Diagnosis dari MRI menunjukkan tulang belakang saya mempunyai masalah stenosis, iaitu ada tekanan (compression) dari slipped disc (yang menekan saraf dari depan) dan dari ligamen yang memegang tulang belakang (yang menekan saraf dari belakang) sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan, ’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Rafizi memaklumkan beliau jarang mendedahkan perkara yang dianggap peribadi namun disebabkan ramai yang bimbang, maka beliau berkongsi mengenai perkara itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarahi Rafizi yang sedang dirawat di Wad Eksekutif di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang.
Sambil memaklumkan keadaan Rafizi bertambah baik, Anwar turut mendoakan Menteri Ekonomi itu sihat secepat mungkin.
Rafizi turut mengulas mengenai serangan jantung yang dialaminya pada Oktober 2023 dan telah menjalani prosedur membuka saluran darah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Saya tidak fikir ia disebabkan tekanan kerja atau seumpamanya, ia lebih kepada kolestrol saya yang memang tinggi sejak saya muda. Setelah berpuluh tahun hidup dengan kolestrol yang tinggi, sudah tentu ada saluran darah yang tersumbat,’’ katanya.
Selain itu, Rafizi, juga memberitahu podcast Yang Bakar Menteri (YBM) akan bersiaran seperti biasa pada bulan Mac ini.
Beliau turut memaklumkan akan menjemput blogger Lim Sian See dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi dan bekas Ahli MKT Umno, Isham Jalil yang merupakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke sesi YBM.
Bagaimanapun beliau akan mendapat maklum balas daripada Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara itu kerana menghormati pandangan mereka selain menjaga keutuhan Kerajaan Madani.
“Jika mereka tiada halangan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda mempertahankan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selama ini,’’ katanya. – 19 Februari, 2024