KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Kedah tidak sepatutnya mempolitikkan isu bekalan dan harga beras dengan cadangan ‘Beras Kedah’ kerana ia tidak realistik, kata Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin.
Bercakap kepada Scoop, Ameer berkata, cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bekalan beras tempatan yang mempunyai harga siling RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg), kini tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan.
“Kita tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk beras tempatan ketika ini, yang dijual pada harga RM26 (10kg). Kenapa kita cuba untuk mempolitikkan (perkara ini) dan memberitahu bahawa ia boleh dijual pada harga lebih rendah, sedangkan realitinya, tidak ada stok?
“Ia tidak mungkin, kerana struktur kos tidak berfungsi. Hasilnya orang ramai memandu jauh untuk mendapatkan beras yang lebih murah. Ia tidak praktikal,” katanya.
Dengan mengambil kira Kedah adalah ‘negeri jelapang padi’, Ameer mengingatkan bahawa negeri lain mungkin akan cuba menggunakan untuk menolak keperluan asas yang lain.
“Kita juga ‘Satu Malaysia’ kita tidak boleh kata Kedah patut ada beras pada harga lebih murah kerana ia pengeluar utama, melainkan ada sebab logistik.
“Esok, Pahang mahukan sayur-sayuran yang lebih murah, atau Sabah dan Sarawak mahukan petrol lebih murah, memandangkan bahan mentah itu datang di negeri berkenaan,’’ katanya.

Semalam, kerajaan negeri merancang mengeluarkan produk Beras Kedah untuk dijual pada harga lebih murah berbanding kadar pasaran makanan ruji itu ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sedang merangka kaedah pengeluaran beras berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini dapat membelinya pada harga lebih murah.
“Kita cuba cari jalan wujudkan Beras Kedah untuk rakyat negeri ini seperti Kerajaan Terengganu wujudkan Beras Ganu untuk rakyat mereka,’’ katanya.
Sebaliknya, Ameer menggesa tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan ekonomi, selain meningkatkan beras pada harga yang kompetitif, apatah lagi Ramadan dan Aidilfitri semakin hampir.
Beliau juga mencadangkan kerajaan Kedah untuk memperbaiki proses penuaian dan sistem pengairan bagi meningkatkan produktiviti, seterusnya membawa kepada pengurangan harga.
“Kita mempunyai cabaran lain, pengeluaran kita tidak efisyen seperti India, Vietnam atau Thailand. Mereka boleh mengeluarkan beras empat ke lima kali setahun.
“Sistem pengairan kita tidak begitu baik. Kita tidak mempunyai air yang mencukupi semasa musim kemarau, dan terlalu banyak air semasa musim banjir. Ini yang perlu difikirkan oleh kerajaan negeri Kedah,’’ katanya. – 19 Februari, 2024