KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, langkah terbaik adalah tidak membenarkan terus pelanggan merokok di dalam premis sama sekali kerana ia bukan saja baik untuk kesihatan tetapi juga persekitaran yang bersih.
“Kita tidak faham mengapa langkah ini akan dipertimbangkan. Sebelum ini jarak tiga meter, kali ini premis makanan di kawasan sempit pula.
“Sebaiknya, jangan benarkan merokok langsung. Kami pemilik restoran juga selesa dengan persekitaran yang bersih. Pihak berwajib (KKM) perlu konsisten, jangan ‘flip flop’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media mengenai KKM akan mempertimbang langkah menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, premis di kawasan sempit agak sukar bagi mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.
Mengulas lanjut, Jawahar berkata, peraturan yang diperkenalkan sebelum ini sudah memadai dan pelanggan serta perokok sudah jelas mengenainya.
“Janganlah tukar-tukar begini. Sekarang ini nak jumpa puntung rokok pun susah, kawasan sekitar bersih dan selesa.
“Bila beri kebenaran, lain pula keadaannya nanti. Sepatutnya tumpu kepada perkara lebih besar,” katanya.
Menurutnya, kerajaan wajar meneliti denda yang dikenakan kepada pemilik premis yang gagal menghalang pelanggan merokok di premis kerana ia mengelirukan.
“Pemilik restoran tidak ada kuasa untuk halang perokok, hanya boleh nasihatkan. Tetapi jika mereka enggan, kami pula didenda. Ini yang patut jadi isu,” katanya. – 18 Februari, 2024