Raghad buat laporan polis dakwaan ‘larikan’ Taib Mahmud

Dakwaan abaikan nasihat perubatan sebelum bawa keluar bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu juga tidak benar

1:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Toh Puan Raghad Kurdi Taib, isteri kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan telah membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan beliau ‘membawa keluar secara paksa’ bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu dari Hospital Normah, Sarawak.

Malah dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, dakwaan dirinya mengabaikan nasihat perubatan sebelum membawa keluar Taib Mahmud adalah tidak benar sama sekali.

Menurut beliau, pihaknya memberikan kerjasama kepada polis mengenai siasatan yang dijalankan dan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan di mana Taib Mahmud dirawat sebelum ini, jika perlu.

“Pada 4 Februari lalu, satu laporan polis dibuat mendakwa Tun Taib (Taib Mahmud) ‘dilarikan’ dari Hospital Normah di Kuching. Dakwaan itu jelas palsu dan amat membimbangkan.

“Sebagai isteri dan penjaga Tun Taib, saya meletakkan kesihatan dan kesejahteraan suami saya sebagai keutamaan dan tidak akan sekali-kali mengambil tindakan tanpa maklumat untuk menjejaskannya,” katanya.

Menurut Raghad, kenyataan yang dikeluarkannya hari ini adalah bagi menjawab beberapa dakwaan terhadapnya.

“Tun Taib tidak ‘dilarikan’ dari Hospital Normah. Kebenaran daripada Dr Tan Sian Kong untuk discaj pada 3 Februari, saya memaklumkannya mengenai temu janji Tun dengan Dr Rosli di Hospital CVS Kuala Lumpur.

“Dr Tan membenarkan Tun dibawa keluar dan melihat beliau boleh dibawa ke Kuala Lumpur. Surat rujukan Dr Tan ke Hospital CVS Kuala Lumpur membuktikan lagi kesahihan,” katanya.

Tambahnya, keputusan untuk membawa Taib Mahmud pulang ke kediamannya pula adalah berdasarkan persetujuan dan haknya untuk memilih mendapatkan rawatan terbaik.

“Semua dokumen discaj yang diperlukan mengikut prosedur hospital telah ditandatangani dan semua kakitangan hospital yang berkaitan mengetahui mengenainya.

“Dalam keselesaan di rumah sendiri, dia (Taib Mahmud) diberikan sokongan nperubatan 24 jam (termasuk jururawat dan lawatan doktor berjadual), peralatan (perubatan) yang diperlukan dan ubat-ubatan sementara menunggu dimasukkan ke Hospital CVS Kuala Lumpur di bawah jagaan Dr Rosli,” katanya.

Beliau menafikan dakwaan telah mencabut peranti perubatan pada tubuh Taib Mahmud tanpa memaklumkan kakitangan yang bertugas.

“Permintaan untuk bantuan bagi mencabut peranti perubatan tidak diendahkan kakitangan hospital biarpun berkali-kali diminta. Layanan buruk dan nasihat perubatan yang tidak konsisten adalah isu serius yang perlu diteliti dan disiasat oleh pihak hospital.

“Tuduhan palsu telah menyebabkan kekeliruan dan tekanan. Saya sudah memfailkan laporan polis bagi menyangkal segala dakwaan dan bagi melindungi privasi Tun serta haknya untuk mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain ketika dihubungi Scoop mengesahkan mengenai laporan polis dibuat Raghad.

“Memang ada report (laporan polis dibuat Raghad),” katanya ringkas

Pada 7 Februari lalu, Razarudin berkata, dakwaan bahawa bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu diculik adalah tidak masuk akal.

Beliau turut meminta supaya fakta mengenai Taib Mahmud yang sebelum ini dikatakan telah dilarikan itu, diperbetulkan.

Terdahulu tular di media sosial kononnya Taib Mahmud telah diculik dari hospital di Sarawak oleh seorang ahli keluarganya.

Laporan itu mendakwa, seorang ahli keluarga terdekat telah mengeluarkan semua peralatan perubatan yang melekat pada tubuh Taib Mahmud tanpa memaklumkan kakitangan hospital.

Pada 10 Februari pula, Razarudin mengesahkan Taib Mahmud mendapat rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Malah beliau berkata, kertas siasatan mengenai dakwaan kononnya Taib Mahmud ‘dilarikan’ dari sebuah hospital di Kuching, Sarawak sebelum ini telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak semalam dan masih menunggu arahan lanjut. – 18 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related