KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 41 wanita dan 13 kanak-kanak dalam serbuan di sebuah penempatan haram di Setia Alam, Shah Alam, Selangor awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, operasi bermula 2.38 pagi itu menahan warga Indonesia yang terdiri daripada 76 lelaki, 41 wanita serta 13 kanak-kanak dan bayi berusia sembilan bulan, selain dua lelaki warga Bangladesh.
Beliau berkata, hasil risikan dan aduan yang diterima pihaknya mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak empat tahun lepas dengan dilengkapi bekalan elektrik.
“Warga asing ini dipercayai menyewa kawasan berkenaan daripada warga tempatan yang turut membekalkan bekalan elektrik kepada mereka. ‘Ketua Kampung’ di sini mendakwa mereka berkongsi membayar kira-kira RM6,000 sebulan untuk sewaan tanah seluas 0.6 hektar itu.
“Di kawasan penempatan haram ini turut menempatkan kedai runcit, warung dan surau. Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran dan buruh binaan di kawasan sekitar,” katanya selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan semakan pihaknya, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tinggal di negara ini melebihi masa.
“Semasa operasi dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang memanjat atap, menyorok di bawah kolong rumah dan mengunci diri (dalam rumah) supaya tidak ditahan pihak berkuasa,” katanya menambah operasi itu mengambil masa selama hampir tiga jam.

Operasi penguatkuasaan dilakukan bersama pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut. – 18 Februari, 2024