‘Nak pecat kami, pecat sajalah’ kata Ahli Parlimen Labuan kepada kepimpinan Bersatu

Suhaili berkata, beliau lebih rela menjadi Ahli Parlimen Bebas jika parti memutuskan untuk memecatnya

6:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Jangan tunggu kami letak jawatan, sebab (kami) tidak akan letak jawatan, kalau betul-betul hendak, pecat sajalah kami, lagi cepat.”

Demikian tegas Datuk Suhaili Abdul Rahman membalas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris yang mencabar enam ahli Bersatu menyokong Perdana Menteri, melepaskan jawatan sebagai ahli parti itu sebelum masing-masing dipecat.

Bercakap kepada Scoop hari ini, Ahli Parlimen Labuan itu berkata, beliau lebih rela menjadi Ahli Parlimen Bebas sekiranya parti memutuskan untuk memecatnya.

“Saya tidak kisah dengan kenyataan Razali ini. Kami tidak akan letak jawatan, tidak akan tinggalkan parti kecuali dipecat.

“Namun sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sampai penghujung penggal Kerajaan Madani memerintah,” katanya.

Terdahulu Razali dalam satu program di Terengganu hari ini berkata, enam Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah dengan mengisytiharkan sokongan terbuka masing-masing kepada kepimpinan Anwar, dicabar melepaskan jawatan sebagai ahli parti itu sebelum masing-masing dipecat.

Cabaran itu disuarakan Razali selepas mendakwa enam Ahli Parlimen terbabit berselindung di sebalik kekebalan sebagai ahli parti.

“Kita cabar mereka mengisytiharkan berhenti sebagai ahli parti dan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen sebelum diusir secara paksa melalui pindaan Perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini,” katanya.

Selain Suhaili, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Ditanya mengenai dakwaan Razali apabila pindaan Fasal 10 Perlembagaan parti itu diluluskan, enam ahli parlimen itu bukan sahaja tergugur keahlian secara automatik, tetapi bakal dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Lompat Parti, Suhaili berkata, mereka tidak akan kehilangan kerusi masing-masing.

“Kami bukan lompat (parti), tapi keahlian dilucutkan. Bagaimana dia boleh kata nak guna akta itu, kami juga bukan berhenti daripada parti.

“Siapa nak layan cabaran dia, bermakna mereka (Bersatu) sendiri tidak yakin dengan langkah untuk pinda Perlembagaan itu.

“Kata bila pinda, akan gugur (keahlian), gugur… gugurlah, tidak payah hendak minta kami berhenti. Berhentilah cari publisiti murahan, sudah-sudahlah Razali,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi berkata, pindaan kepada Perlembagaan parti itu tidak akan menghalang beliau daripada terus berkhidmat kepada rakyat di kawasannya.

“Berkenaan cadangan pindaan Perlembagaan yang parti Bersatu nak buat itu, setahu saya parti tak boleh buat tindakan kerana Perlembagaan diubah selepas saya buat keputusan menyokong Perdana Menteri.

“Lagipun cadangan pindaaan Perlembagaan mana-mana parti bukan sewenang-wenangnya akan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) jika ianya dicipta untuk membunuh karektor wakil rakyat terpilih,” katanya. – 17 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related