KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan memperluaskan jaringan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dalam usaha terus memperkasa kemahiran digital dan menjana pendapatan melalui platform e-Dagang, agar ia dapat dimanfaatkan lebih ramai rakyat di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, bagi inisiatif itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan, seperti Jabatan Penerangan dan Rukun Tetangga di sesebuah daerah.
Katanya, setakat ini hanya terdapat satu PEDi bagi sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mungkin tidak dapat menampung kapasiti komuniti pada satu-satu masa.
“Satu perbincangan akan diadakan dengan pihak berkaitan bagi mengkaji perkara (usaha) tersebut. Februari lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) minta ‘1 DUN, 1 PEDi’, tetapi ada sesetengah DUN besar…jadi kita nak pastikan bukan komuniti di situ sahaja yang dapat manfaat.
“Sehubungan itu, biarlah PEDi ini dapat memanfaatkan lebih ramai dan ini yang perlu dibincangkan di mana kita (Kementerian Komunikasi) akan melibatkan hubungan lebih erat dengan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO), contohnya seperti Jabatan Penerangan dan Rukun Tetangga.
“NGO boleh memanfaatkan (kemudahan di PEDi), tetapi kita akan bincang dan teliti terlebih dahulu sebelum dan ia dibawa ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diputuskan. Kemudian kita akan buat pengumuman penuh berkaitan perkara ini,” katanya.
PEDi adalah inisiatif Kementerian Komunikasi melalui MCMC dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang memberi peluang kepada komuniti setempat, memperkasa kemahiran digital dan menjana pendapatan melalui platform e-Dagang.
Setakat ini, terdapat 911 PEDi beroperasi di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Fahmi ketika ditanya mengenai isu penjenamaan semula nama PEDi, sekali lagi menegaskan perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia selaras dengan pertambahan fungsi dirangka bagi memanfaatkan kemudahannya kepada orang ramai.
Tegasnya, penjenamaan semula PEDi yang akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini, dibuat berdasarkan hasil kaji selidik serta pengamatan beliau di lapangan.
Menerusi hasil kaji selidik dan pengamatan itu, katanya, beliau mendapati orang ramai hadir ke pusat berkenaan untuk pelbagai aktiviti yang tidak membabitkan ekonomi digital.
Jelasnya, ramai ke PEDi untuk mendapatkan pelbagai maklumat, antaranya mengenai geran, bantuan serta perkhidmatan kerajaan, manakala sesetengah pusat itu turut berperanan sebagai pejabat pos.
“Saya lihat ada keperluan (untuk penjenamaan semula) kerana kalau sebelum ini namanya Pusat Ekonomi Digital, tapi berdasarkan satu hasil kaji selidik dilakukan serta pengamatan saya di lapangan, orang ramai yang hadir ke PEDi bukan bersifat ekonomi semata-mata.
“Usaha untuk jenamakan semula bukan hanya dari segi kosmetik (perubahan nama), tapi tugas yang diberikan kepada pengurus dan penasihat serta membabitkan penglibatan beberapa agensi lain untuk memanfaatkan semua kemudahan yang boleh didapati di PEDi,” katanya. – 17 Februari, 2024