KUALA LUMPUR – Wujud beberapa kumpulan menerusi Facebook yang berpegang kepada fahaman ‘ateisme’, iaitu menolak konsep ketuhanan atau menafikan kewujudan tuhan, dengan matlamat mendapatkan pengikut dalam kalangan anak muda Melayu beragama Islam.
Perkara itu dinyatakan mimbar menerusi khutbah Jumaat bertajuk ‘Waspada Fahaman Menafikan Tuhan’ dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) hari ini.
Katanya, laman media sosial itu juga digunakan kumpulan terbabit sebagai ruang bertemu bersama komuniti mereka untuk berbincang mengenai fahaman songsang berkenaan.
Mimbar menegaskan, golongan turut disebut ‘ilhad’ dalam Bahasa Arab yang mengamalkan fahaman bercanggah dengan Islam itu, bukan sahaja tidak mengharapkan pertemuan di akhirat, malah mempersoalkan ‘mengapakah bukan Malaikat yang diturunkan kepada kita dan mengapakah kita tidak boleh melihat Tuhan kita?’.
Golongan itu, katanya, menyombongkan diri mereka dan benar-benar melampaui batas sehingga Al-Quran menggelar mereka sebagai ‘dahriyyun’, iaitu mempercayai bahawa kehidupan terhenti di dunia sahaja serta tidak menyandarkan sebarang kejadian hidup dan mati kepada Tuhan.
Malah, ujarnya, golongan dikenal pasti menerusi saluran media sosial itu, kini menjadi medan untuk menyebarkan aliran pemikiran yang menafikan kewujudan Tuhan.

“Fahaman ini bercanggah dengan Islam, fahaman ini berpaksikan kepada aliran memperjuangkan hak asasi manusia yang bertunjangkan pemikiran bebas serta menolak keperluan agama dalam kehidupan.
“Mereka berpegang pada fahaman, manusia bebas menentukan hala tuju kehidupan dan meyakini sepenuhnya keupayaan yang ada pada manusia.
“Akal diberi kebebasan sepenuhnya untuk memahami semua perkara. Akal dianggap berupaya menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan kehidupan tanpa perlu merujuk kepada pandangan agama dan ketuhanan,” katanya.
Mimbar memaklumkan, antara keraguan ditimbulkan fahaman itu yang bercanggah dengan prinsip Islam adalah kewujudan tuhan tidak dapat dibuktikan melalui pancaindera atau secara pembuktian sains.
“Kedua, setiap penganut mendakwa agama merekalah yang benar dan tuhan merekalah layak disembah, tetapi persoalannya, mengapakah setiap agama mempunyai tuhan masing-masing dan tuhan agama manakah yang sebenar-benar tuhan?
“Ketiga, manusia pada asalnya tidak beragama, oleh itu tidak perlukan agama dalam kehidupan, manakala keempat, agama bersifat mengongkong dan menghalang kebebasan manusia,” katanya.
Menurutnya, antara perkara yang mendorong kepada berkembangnya fahaman tidak bertuhan itu adalah kurangnya penekanan pendidikan agama dan penghayatan agama dalam kehidupan berkeluarga.

Jelasnya, faktor nasib kurang baik dilalui seseorang seperti pengalaman sedih dan menakutkan pada masa lampau, kurang mendapat belaian kasih-sayang, mengalami pelbagai jenis penderaan serta terlalu dikongkong ibu bapa, turut menjadi punca untuk mereka cuba mencari kebebasan mutlak, sehingga akhirnya terjebak menganut fahaman ini.
Menerusi khutbah terbabit, Mimbar turut menegaskan, Islam tidak mengiktiraf fahaman menafikan kewujudan tuhan seperti itu kerana ia bercanggah dengan prinsip syarak dan disifatkan fahaman yang menyeleweng.
“Allah SWT menciptakan kejadian manusia dengan fitrah suci, iaitu fitrah semula jadi bahawa setiap manusia pada hakikatnya memiliki naluri memerlukan tuhan sebagai tempat bergantung dan tempat bernaung.
“Akal wajib dipandu dan dibimbing dengan sumber wahyu Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW agar manusia kekal berada atas landasan yang diredai Ilahi.
“Ummah wajib mengukuhkan pegangan dengan mempelajari ilmu agama daripada agamawan berkelayakan; ibu bapa dan penjaga bertanggungjawab memberi didikan asas agama kepada anak-anak serta pantau kegiatan anak-anak, selain pihak berkuasa agama dan institusi pendidikan perlu mempergiatkan usaha mendidik, mengembangkan dakwah serta melaksanakan pemulihan akidah sesuai, di samping menjalankan pencegahan terhadap kegiatan menyebarkan fahaman dan aliran bertentangan dengan syarak,” katanya.

Sementara itu, menurut khutbah dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang (JMNP) bertajuk Kedaulatan Syariat Islam, umat Islam hari ini disifatkan sudah dihimpit dengan penghinaan tidak berkesudahan, ekoran daripada sikap sebahagian daripada penganutnya yang tidak lagi mempedulikan soal syariah, apatah untuk mempertahankannya.
Malah, katanya, mereka hanya memandang sepi apabila menyaksikan Islam diserang golongan anti Islam dari segenap arah, sekali gus memberi hak kebebasan memilih agama, termasuk untuk orang Islam.
Kumpulan itu, ujarnya, mengambil kesempatan sepenuhnya disebabkan kelalaian umat Islam.
“Antara ancaman sedang dihadapi umat Islam di negara ini adalah usaha menghalang Islam dikuatkuasakan walaupun ke atas golongan itu sendiri. Tindakan ini menyaksikan mereka mencampuri hal ehwal Islam dan sistem kehakiman negara untuk tunduk kepada kehendak nafsu mereka. Ia dilaksanakan dengan mengheret urusan agama dan ketetapan tuhan untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil yang tidak berasaskan agama.
“Ini adalah pencabulan kepada syariat Islam yang sudah ditetapkan Allah yang bermaksud ‘apakah hukum Jahiliyah yang dikehendaki mereka dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang yang mempunyai keyakinan?” katanya.
Perlembagaan negara ini juga, katanya, menetapkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan dan urusan keagamaan diletakkan di bawah bidang kuasa negeri yang dinaungi Raja-Raja Melayu, justeru sebarang bentuk pencabulan terhadap urusan pentadbiran hal ehwal agama adalah penderhakaan terhadap raja dan sultan.

“Harus diketahui juga bahawa menurut Perkara 121 (1A) Perlembagaan diperuntukkan Mahkamah Sivil tidak ada kuasa pada hal dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Kita juga berharap agar pihak berkuasa bertindak tegas menjaga kesucian Islam dalam negara ini dengan tidak membiarkan agama dan seluruh institusinya, dipersenda dan dipertikaikan golongan anti Islam.
“Marilah kita dan semua pemimpin Islam menyebarkan dakwah supaya orang bukan Islam memahami Islam dan diberi hidayah. Pemimpin Islam perlu menjadi contoh baik kepada orang bukan Islam dengan menjauhi rasuah dan berakhlak mulia,” katanya. – 16 Februari, 2024