‘Kami sokong Mufti Pulau Pinang, tindakan itu amat mengecewakan’: Abim

Zairudin berkata, normalisasi zina bertentangan dengan Islam, berlawanan adat resam Melayu dan tidak selari fitrah manusia

9:50 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ambil tindakan lebih tegas dan berganding bahu untuk memerangi sebarang usaha menormalisasikan zina serta kemungkaran di negara ini.

Itu ditegaskan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Zairudin Hashim, bagi menyokong kenyataan dikeluarkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Daud yang mengecam tindakan pihak mempromosikan kemungkaran dengan menjemput gigolo dalam sebuah temu bual disiarkan menerusi laman web penstriman.

Zairudin berkata, tindakan itu amat mengecewakan dan boleh dianggap sebagai satu cara mempromosi serta menormalisasikan kegiatan persundalan.

“Abim memandang serius hal ini kerana sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, dengan penduduknya majoriti Muslim dan berbangsa Melayu, normalisasi zina serta mempromosikan kemungkaran yang merendahkan harga diri manusia adalah tindakan tidak dapat diterima daripada segenap aspek,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, Abim menegaskan bahawa normalisasi zina bertentangan dengan Islam, berlawanan adat resam Melayu dan tidak selari fitrah manusia yang menjunjung keluhuran budi serta ketinggian akhlak.

“Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala menyatakan ‘janganlah dekati zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan jalan terburuk (membawa kepada kejahatan) (Surah al-Isra’, Ayat 32).

“Justeru, Abim bersama Mufti Pulau Pinang dalam perkara ini dan menyeru pihak berkuasa serta rakyat Malaysia untuk berganding bahu, memerangi sebarang usaha menormalisasikan zina dan kemungkaran ini,” katanya.

Menurutnya, Abim juga menggesa pihak berkuasa agar bersikap lebih tegas dan menggunakan undang-undang yang ada.

“Undang-undang itu seperti Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menjaga moral rakyat Malaysia daripada dibinasakan,” katanya.

Terdahulu, Wan Salim dilapor melahirkan kekesalannya terhadap tindakan pengendali sebuah laman web penstriman menjemput Hot Daddy ke podcast siarannya.

Katanya, tindakan itu amat mengecewakan dan boleh dianggap sebagai satu cara mempromosikan serta menormalisasikan persundalan.

Wan Salim berkata, pihaknya bimbang tindakan itu akan mempengaruhi remaja dan berisiko meruntuhkan akhlak mereka.

“Sekiranya keadaan itu tidak dikekang atau dicegah ia akan mempengaruhi golongan remaja, sekali gus membawa kepada jurang keruntuhan akhlak,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar turut menentang tindakan berkenaan dengan mengingatkan pempengaruh media sosial supaya tidak mencipta kandungan sensasi, sehingga sanggup menormalisasikan perkara maksiat dan mungkar kerana menagih populariti.

Tegasnya, semua pihak, terutama pempengaruh media sosial diajak untuk bertanggungjawab kepada agama dan negara.

Na’im berkata, beliau sangat terkejut dengan tindakan pengendali podcast terbabit mengundang Hot Daddy sebagai tetamu dalam rakaman itu.

“Amat jelas aktiviti persundalan adalah satu perlakuan jijik di sisi agama. Usahlah kerana menagih populariti dengan mencipta sensasi sehingga sanggup menormalisasikan perkara maksiat dan mungkar.

“Justeru, saya mengajak semua pihak, terutamanya pempengaruh media untuk bertanggungjawab kepada agama dan negara,” katanya.

Terdahulu, sebuah pengendali laman web penstriman menjemput Hot Daddy ke podcast dianjurkannya, sekali gus mencetuskan ketidakpuasan hati ramai, dan dianggap mengecewakan kerana ia dianggap satu daripada cara boleh mempromosikan serta menormalisasikan persundalan.

Netizen mempersoalkan kenapa pengendali rancangan itu perlu menjemput Hot Daddy atau nama sebenarnya, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mempromosi persundalan dengan ramai wanita lain, selain mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Malah, tindakan menjemput Hot Daddy itu didakwa seolah-olah menyokong dan mempromosikan apa dilakukan lelaki terbabit.

Bagaimanapun, penganjur podcast itu mempertahankan tindakan mereka, dengan mengatakan rakaman berkenaan berkonsepkan realiti kehidupan, tetapi hakikatnya mereka akan terus menentang pihak melakukan perkara tidak bermoral. – 16 Februari, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related