Semua diseru akur titah Sultan Selangor supaya keputusan kes Nik Elin dihormati: Na’im

Pihaknya juga menjunjung tinggi titah Sultan Selangor supaya setiap perbezaan pandangan perlulah diselesaikan secara musyawarah, tertutup serta meraikan perbezaan pandangan secara ilmiah dan berhemah

8:33 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua pihak diseru untuk akur kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dihormati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, mereka juga diseru mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Katanya, perkara itu ditegaskan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-71.

Beliau berkata, jabatannya akan sentiasa memberikan ruang penuh kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi untuk mengkaji isu berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah, sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Semua cadangan jawatankuasa khas itu, katanya, akan dikemukakan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi serta diperkenankan.

“Semua pihak adalah diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam, sementara menantikan cadangan daripada jawatankuasa khas ini,” katanya menerusi kenyataan.

Na’im berkata, seperti dititahkan Sultan Selangor, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berusaha memperkukuh dasar serta program pendidikan tahfiz dalam negara.

“Ini adalah termasuk penekanan kepada penguasaan mata pelajaran bahasa Arab dalam kalangan pelajar tahfiz, agar fasih dan berkemahiran untuk mentafsirkan ayat-ayat suci Al-Quran secara tepat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung tinggi titah Sultan Selangor supaya setiap perbezaan pandangan perlulah diselesaikan secara musyawarah, tertutup serta meraikan perbezaan pandangan secara ilmiah dan berhemah.

“Sesungguhnya titah Sultan Selangor ini menatijahkan kekuatan agama Islam dan umat Islam di negara kita.

“Melalui peranan MKI, ia memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor mengingatkan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara serta perlu sentiasa didukungi rakyat Malaysia.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian dalam Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya.

Baginda bertitah, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan Ogos tahun lalu sedang meneliti isu berbangkit mengenai keputusan kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Ia susulan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam petisyen yang dikemukakan Nik Elin bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman adalah terbatal dan tidak sah.

Sultan Selangor bertitah, jawatankuasa khas itu diberi tempoh setahun dari tarikh penubuhannya bagi memberikan sebarang cadangan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dibawa kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan. – 16 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same tahun GLICs invested RM47 mil

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related