KUALA LUMPUR – Cadangan merekrut penggodam komputer atau ‘hackers’ sebagai aset baharu ketenteraan pada masa depan dilihat bagus untuk dilaksanakan tetapi dengan syarat langkah itu perlu dikawal ketat Kementerian Pertahanan (Mindef).
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, pemantauan ketat itu penting bagi memastikan anggota penggodam tidak dipergunakan demi kepentingan ahli politik.
“Saya rasa usaha ini bagus tetapi kelompok penggodam ini perlu dikawal ketat. Ini kerana dikhuatiri mereka ini akan terjebak menjadi senjata politik,” katanya kepada Scoop.
Walau bagaimanapun beliau berkata, terdapat keperluan usaha tersebut dilakukan pada masa terdekat memandangkan Malaysia sedang melalui proses digitalisasi.
“Sebagai contoh, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan portal rasmi miliknya telah digodam pada November 2020.
“(Jadi) Usaha ini sepatutnya dilakukan lebih awal lagi kerana keadaan sistem pertahanan negara hari ini belum sampai pada tahap yang memuaskan,” katanya.
Menurutnya, cadangan itu juga akan memberi impak positif kepada kelompok penggodam bersendirian kerana berupaya memupuk semangat patriotisme dan memberi peluang kepada mereka menggunakan bakat yang ada ke arah kebaikan.
“Lebih baik mereka (penggodam) berkhidmat untuk negara daripada melakukan aktiviti yang mungkin melanggar undang-undang,” katanya.
Pakar keselamatan siber, Murugason R. Thangaratnam berpendapat, langkah merekrut penggodam ke dalam ATM boleh membantu meningkatkan sistem pertahanan negara dalam menghadapi ancaman pada masa hadapan.
Namun beliau berkata, terdapat beberapa cabaran yang akan dihadapi kerajaan antaranya perlu bersaing dengan syarikat besar supaya penggodam memilih untuk bekerja di bawah kerajaan berbanding syarikat swasta.
“Jika kerajaan tidak menawarkan ganjaran berbaloi, ia akan menyebabkan mereka sukar untuk menarik penggodam bertugas di dalam ATM.
“Tapi antara strategi yang boleh dilakukan kerajaan adalah bekerjasama dengan universiti tempatan menjalankan program-program yang selari dengan kepentingan ATM dalam usaha meningkatkan pertahanan keselamatan siber,” katanya.
Sementara itu pakar perunding teknologi maklumat, Ridzman Azzahari tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana bimbang jika penggodam yang direkrut itu menyalahgunakan kemahirannya.
“Saya secara peribadi tidak bersetuju, kerana kita perlu memastikan bahagian yang mengetuai penggodam yang ingin direkrut mesti mempunyai kemahiran dan kepakaran teknologi yang lengkap supaya tidak mudah ‘digula-gulakan’.
“Ini kerana saya risau jika penggodam yang diambil itu, sendiri menggodam sistem kita,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan merancang dan mengaturkan proses merekrut penggodam dilakukan secara rapi dan ketat, bagi menjamin kualiti dan kredibiliti anggota tersebut.
“Kalau mereka tubuhkan institusi latihan pendidikan berkenaan siber daripada awal, saya setuju. Contohnya mereka boleh menubuhkan bahagian pendidikan siber di Maktab Tentera Diraja,” katanya.
Pada Selasa lalu, ATM menyatakan mereka akan merekrut penggodam komputer atau ‘hackers’ bagi memperkuat pasukan keselamatan dan ketenteraan dalam menghadapi sebarang perang siber di masa akan datang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara perlu bergerak ke hadapan dan tidak menafikan kepentingan penggodam serta penggunaan dron sebagai aset baharu ketenteraan.
“Penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau kegiatan yang disebut ‘hacktivist’ adalah sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.
“Kita tak boleh elakkan keperluan teknologi IT dan AI (Artificial Intelligence) dan ia akan menjadi satu trend yang akan dilaksanakan pasukan tentera seperti yang telah dijalankan negara jiran, Singapura,” katanya. – 16 Februari, 2024