KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat cuba menunggang isu berkaitan pembatalan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan apabila menyindir para hakim dengan melabelkan mereka sebagai ‘bijaksini’, bukannya bijaksana.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Hadi juga cuba memberi bayangan bahawa pelbagai pindaan undang-undang sejak kebelakangan ini telah meninggalkan syariat Islam.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menegaskan tidak terkejut jika pemimpin PAS itu tidak memahami isu itu kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga gagal memahaminya dengan baik.
“Melalui tulisan dalam segmen Minda Presiden, beliau (Hadi) turut memberi sindirian kepada para hakim dengan melabelkan kewujudan hakim yang ‘bijaksini’, bukan bijaksana.
“Sudah tentu beliau (Hadi) cuba menunggang isu ini. (Namun) Perlembagaan yang dikatakannya sebagai undang-undang penjajah telah memelihara Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin hak-hak penganut agama dan kepercayaan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata, Perlembagaan Persekutuan menyebut: “Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988 memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa berasingan daripada mahkamah sivil, menjadikan Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan mahkamah biasa dan dianggap setaraf”.
Justeru beliau menegaskan, sesuatu yang tidak disentuh Hadi adalah kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam pada Disember 2023.
Katanya, jawatankuasa ini diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai oleh 10 ahli jawatankuasa yang lain.
“Sudah tentu jawatankuasa ini membantu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia. Saya yakin Hadi dan Takiyuddin sebenarnya faham, tetapi sengaja buat-buat tidak faham untuk menimbulkan ketakutan umat Islam demi kepentingan sempit mereka.
“PAS harus berhenti mengelirukan rakyat dengan menghina Perlembagaan yang telah menjadi asas kepada pembinaan Malaysia. Mempergunakan isu teknikal undang-undang untuk kepentingan politik, terutamanya berkaitan perihal agama adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
“Kempen seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan kebencian dalam kalangan masyarakat dan tidak akan membawa Malaysia lebih maju ke hadapan,” katanya.
Semalam, Hadi dalam catatan Minda Presiden berkata, dahulu ada kalangan hakim yang bijaksana yang menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menjaga dan mempertahankan syariah namun kini muncul hakim yang ‘bijaksini’ yang mana kepala dan akalnya dipengaruhi oleh tulisan warisan penjajah.
Beliau memberikan contoh hakim yang bijaksana seperti Allahyarham Tun Salleh Abas dan Allahyarham Tan Sri Harun Hashim manakala yang masih hidup pula adalah seperti Tun Abdul Hamid Mohamad serta Tun Ahmad Fairuz.
Mereka ini, katanya menggunakan kebijaksanaan untuk menjaga dan mempertahankan syariat buat sementara waktu mengikut mafhum yang ada dalam keimanan di hati mereka kepada Islam.
Pada 19 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut. – 15 Februari, 2024