KUALA LUMPUR – Jepun secara tidak dijangka tergelincir ke dalam kemelesetan selepas ekonominya menyusut untuk sukuan kali kedua berturut-turut disebabkan permintaan domestik yang lemah.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu menguncup 0.4 peratus lebih teruk daripada jangkaan dalam tempoh tiga bulan terakhir 2023, berbanding tahun sebelumnya.
Ia berlaku selepas ekonomi menyusut sebanyak 3.3 peratus pada suku sebelumnya.
Angka daripada Pejabat Kabinet Jepun juga menunjukkan bahawa negara itu juga kehilangan kedudukannya sebagai kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia kepada Jerman.
Pakar ekonomi menjangkakan data terbaharu itu menunjukkan bahawa KDNK Jepun meningkat lebih daripada satu peratus pada suku keempat tahun lepas.
Angka terkini adalah bacaan pertama pertumbuhan ekonomi Jepun bagi tempoh tersebut dan masih boleh disemak.
Pada Oktober, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan bahawa Jerman berkemungkinan mengatasi Jepun sebagai kuasa ekonomi ketiga terbesar di dunia apabila diukur dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

IMF hanya akan mengisytiharkan perubahan dalam kedudukannya sebaik sahaja kedua-dua negara menerbitkan versi akhir angka pertumbuhan ekonomi mereka.
Ia mula menerbitkan data membandingkan ekonomi pada 1980.
Ahli ekonomi, Neil Newman memberitahu BBC bahawa angka terkini menunjukkan bahawa ekonomi Jepun bernilai kira-kira AS$4.2 trilion (kira-kira RM20.10 trilion) pada 2023, manakala Jerman ialah AS$4.4 trilion (RM21.04 trilion).
Ini disebabkan oleh kelemahan mata wang Jepun berbanding dolar dan jika nilai yen pulih, negara itu boleh memperoleh semula kedudukan sebagai kuasa ekonomi ketiga terbesar di dunia. – Agensi