Nahas udara Kapar: Pesawat tiada kotak hitam, sukarkan proses siasatan

Pesawat itu juga tiada kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta sistem kedudukan sejagat (GPS

12:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Klang semalam dipercayai tidak mempunyai kotak hitam.

Seorang pegawai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) mendakwa pesawat itu juga tiada kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta sistem kedudukan sejagat (GPS).

Katanya, ketiadaan sistem penting itu akan menyulitkan lagi proses siasatan untuk mengenal pasti punca pesawat berkenaan terhempas.

“Kita akan bawa serpihan pesawat ini ke hangar berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi pesawat berkenaan terhempas di Kapar, Klang, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, serpihan pesawat berkenaan akan dikumpulkan sebelum ‘dibina’ semula untuk mengenal pasti punca nahas dan dibawa ke makmal.

“Kita akan buat analisa, siasatan akan ambil masa setahun. Setakat ini tiada rumusan (mengenai punca). Enjin pesawat kita akan buka dan periksa satu persatu,” katanya.

Menurut pegawai itu lagi, seorang saksi mendakwa ternampak sayap pesawat berkenaan patah di udara sebelum terhempas.

Ujarnya, susulan itu siasatan akan menjurus kepada bahagian sayap selain enjin pesawat.

“Setakat ini, sukar untuk mengenalpasti punca awal pesawat itu terhempas, namun kita akan lihat pada sayap termasuk hentakan yang berlaku selain enjin pesawat.

“Kita akan kaji segala kemungkinan punca kejadian ini. Orang ramai juga diharap membantu dalam menyerahkan mana-mana serpihan kecil pesawat sekiranya menemuinya,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada dibenarkan pesawat tanpa sebarang alat komunikasi untuk terbang, pegawai tersebut menyatakan perkara itu perlu dirujuk kepada kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Semalam, mayat kedua-dua mangsa insiden terbabit dikeluarkan daripada bangkai pesawat itu pada jam 8.11 malam dan terus dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Identiti mangsa disahkan sebagai juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 42.

Kedua-dua ahli kelab penerbangan Air Adventure Flying Club itu sedang melakukan penerbangan rekreasi sebelum pesawat berkenaan terhempas. – 14 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related