KUALA LUMPUR – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Khaled Nordin berpegang tegas kepada pendirian parti yang tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengenai isu pencalonan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau membantah cadangan tersebut seperti yang disuarakan beberapa pemimpin Umno sebelum ini.
“Saya berpegang kepada prinsip Umno, saya tidak bersetuju,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Kick Off Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Ia bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan perkampungan diasaskan sejak 76 tahun lalu itu.
Pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Unesco membolehkan kampung itu diangkat sebagai warisan kebudayaan Malaysia.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menempelak cadangan tersebut dengan mengatakan kenyataan demi kenyataan berbaur perkauman yang dicetuskan pimpinan DAP amat berbahaya bukan sahaja kepada sensitiviti rakyat negara ini malah keharmonian masyarakat.
Menyedari cadangannya ditempelak ramai, Kor Ming menerusi kenyataan menegaskan, segala tuduhan mengatakan KPKT mencabar kepentingan Melayu dan bumiputera di negara ini, tidak masuk akal.
Tegasnya, tuduhan berbangkit susulan rancangan itu juga tidak logik kerana ia hanya di peringkat cadangan. – 13 Februari, 2024