KUALA LUMPUR – Penstrukturan semula portfolio Exco Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2024 hingga 2027 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh digugurkan dan tempatnya digalas ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin.
Pelantikan dan penstrukturan semula portfolio itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Malah portfolio dipegang Onn Hafiz yang sebelum ini merangkumi Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi ditambah dengan portfolio Pelancongan negeri.
Norlizah sebelum ini memegang portfolio Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri dan digantikan kepada Aznan dengan penstrukturan baharu sebagai Exco Pendidikan dan Penerangan negeri.
Menurut Onn Hafiz, empat Exco dikekalkan iaitu ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip (Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar); ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan); ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid (Exco Hal Ehwal Agama Islam) dan ADUN Serom, Khairin Nisa Ismail (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Katanya, lima Exco yang berubah portfolio pula adalah ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar (Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya); ADUN Larkin, Mohd Hairi Md Shah (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (Exco Kesihatan dan Alam Sekitar).
Turut berubah, ADUN Paloh, Lee Ting Han (Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) dan ADUN Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi).
“Patik menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio serta berangkat ke Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baharu hari ini.
“Tahniah kepada Aznan yang mengangkat sumpah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Johor. Semoga apa yang dititahkan kepada beliau dapat dilaksana dan digalas dengan baik.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi, Norlizah atas segala khidmat dan bakti yang dicurahkan kepada negeri dan bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau kemudiannya menyatakan keyakinan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio itu mampu memacu negeri ke arah lebih baik.
“Insya-Allah, saya bersama barisan Exco ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya. – 13 Februari, 2024