KUALA LUMPUR – Nama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli diperkatakan selepas beliau menjadi satu-satunya hakim menentang petisyen difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Malah, beliau yang juga hakim Mahkamah Persekutuan secara sinis menyifatkan dua beranak itu sebagai ‘busybody’ dan tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) ketika memfailkan petisyen itu dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan berkenaan, terbatal dan tidak sah.
Ketika membaca keputusan penghakimannya dalam kes terbabit, Abdul Rahman berkata, hak berperlembagaan Nik Elin dan anaknya tidak terjejas kerana penguatkuasaan enakmen berkenaan di Kelantan, manakala mereka tidak pernah didakwa atas mana-mana peruntukan berkenaan.
Beliau berkata, isu locus standi sepatutnya diperjelas terlebih dulu kerana tidak wajar bagi panel itu melaksanakan bidang kuasa asalnya (inherent jurisdiction) mendengar petisyen itu, walhal mereka tiada hak di sisi undang-undang.

Di sebalik keputusannya itu, tercetus persoalan berhubung latar belakang statusnya, termasuk perjalanannya sebagai hakim.
Mengenali Abdul Rahman, kes Nik Elin bukan yang pertama menyaksikan keputusan penghakiman diberikan beliau berbeza berbanding panel hakim lain.
Beliau adalah individu bertanggungjawab mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Permohonan itu adalah untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda dikenakan terhadap Najib, susulan kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Dalam keputusan rayuan Najib pada hujung Mac tahun lalu itu, Abdul Rahman juga menjadi hakim tunggal yang menentang keputusan majoriti menolak rayuan bekas Perdana Menteri Ke-6 terbabit.
Alasan penghakiman bertulis setebal 78 muka surat disediakannya menyatakan, ‘nampak jelas baginya berlaku penyelewengan keadilan bahawa pemohon (Najib) dinafikan daripada hak mendapat perbicaraan adil’.
Beliau berkata, tidak dinafikan bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan yang amat serius, tetapi adalah penting orang tertuduh diwakili secara sah bagi menjamin wujudnya keadilan terhadap proses perbicaraan atau rayuannya.

“Keadilan bukan sahaja mengenai bersalah atau tidak bersalah orang yang dituduh. Ia juga mengenai memberikannya perbicaraan yang adil. Orang yang dituduh harus merasakan bahawa dia sudah menjalani proses perbicaraan yang adil.
“Jika dia tidak boleh dibicarakan secara adil terhadap pertuduhan yang dikenakan, dia tidak sepatutnya dibicarakan sama sekali. Menafikan tertuduh daripada perbicaraan yang adil adalah satu bentuk ketidakadilan serius,” katanya dalam penghakiman minoritinya.
Manakala, ketika menjadi hakim Mahkamah Pilihan Raya pada Februari 2014, Abdul Rahman membuat keputusan menolak petisyen difailkan calon PKR untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), sekali gus membolehkan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan bagi kawasan Parlimen Tapah.
Penghakiman Abdul Rahman menyebut, pempetisyen mendakwa bahawa berlaku sogokan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), namun tidak dinyatakan secara terperinci siapa yang melakukannya.
Julai 2013 pula, Abdul Rahman menolak petisyen difailkan seorang pengundi untuk membatalkan keputusan PRU-13 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau.

Di sini dinyatakan fakta mengenai Abdul Rahman:
- Dilahirkan di Sarawak pada 25 Januari 1959.
- Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) pada 1983.
- Berkahwin dengan Puan Sri Sarbanun Mokhtar dan mempunyai tujuh anak.
- Pernah menyandang jawatan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sarawak, Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur.
- Dilantik Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara Negeri Sarawak, Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dan Miri, Penasihat Undang-undang Negeri Pahang dan Pengarah Bahagian Perundangan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
- Dilantik Pesuruhjaya Kehakiman pada 15 September 2008.
- Dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada 9 Ogos 2010.
- Dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 September 2014.
- Dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 8 Ogos 2019.
- Dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada 17 Januari 2023. – 13 Februari, 2024