Usaha pemerkasaan undang-undang syariah hampir tercapai

Ketika ini hanya Kedah, Sabah dan Sarawak yang berada di peringkat akhir pengasingan

4:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Usaha pemerkasaan perundangan syariah melalui pengasingan Bahagian Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Negeri kini hampir mencapai penghujungnya.

Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) berkata, ketika ini hanya Kedah, Sabah dan Sarawak yang berada di peringkat akhir pengasingan.

Menurutnya, ketika ini JAPENSWP sedang berusaha bersama pihak berkepentingan dan pemegang taruh dalam mengkaji dan meneliti setiap peruntukan kesalahan jenayah syariah sedia ada susulan kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

“Melalui keputusan kes ini juga, semua pihak yang berkepentingan perlu mengambil perhatian serius dan berkerjasama dalam membaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

“Semoga usaha ini akan menjelmakan komitmen kerajaan dalam memperkasakan Sistem Perundangan Syariah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau yang mengetuai panel sembilan hakim memaklumkan penghakiman itu dicapai melalui majoriti 8-1 selepas mahkamah memutuskan dua lagi kesalahan dalam enakmen berkenaan yang disenaraikan dalam petisyen difailkan dua beranak itu adalah sah.

Mengulas lanjut, dalam meneliti kesan pembatalan peruntukan tersebut, JAPENSWP menegaskan wujudnya keperluan mendesak terhadap penubuhan Agensi Penyelaras Pendakwaan Syariah di Peringkat Persekutuan.

Katanya, ia berperanan menjalankan fungsi penyelarasan pendakwaan Syariah di Malaysia, termasuk mencadangkan pindaan terhadap undang-undang jenayah Syariah berkaitan.

“Gerak kerja berhubung penubuhan Agensi Penyelaras Pendakwaan Syariah ini telah dimulakan dan dalam tindakan JAPENSWP melalui arahan dan mandat yang diterima daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar sejak Jun 2023.

“Dalam usaha ini juga, JAPENSWP berpandangan sudah tiba masanya Jawatankuasa Pendakwaan Syariah di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) berperanan untuk menasihati Majlis Raja-Raja Melayu, selaku ketua agama Islam di negeri-negeri berhubung isu dan perkara berkaitan pendakwaan syariah,” katanya.

Dalam pada itu, JAPENSWP menegaskan institusi Pendakwaan Syariah di setiap negeri tetap utuh dan teguh dalam menjalankan fungsi pendakwaan syariah pasca penghakiman kes Nik Elin Zurina.

Malah katanya, JAPENSWP menyokong penuh usaha diumumkan Mohd Na’im pasca penghakiman kes itu melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

“JAPENSWP berpandangan bahawa cabaran terhadap keabsahan peruntukan undang-undang ini bukanlah sesuatu yang baru. Sistem perundangan jenayah syariah berhadapan dengan perkara ini dalam beberapa kes sebelum ini.

“Cabaran ini juga turut dihadapi oleh sistem perundangan jenayah sivil dalam kes Mamat Daud & Ors v. The Govermant of Malaysia [1988] 1 MLJ 119 yang memutuskan peruntukan Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak berperlembagaan,” katanya.

Tegasnya, cabaran-cabaran seperti ini adalah perkara biasa berlaku dalam mengimbangi dan menguji takat bidang kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan terhadap kuasa Parlimen dan DUN dalam membuat undang-undang.

“Oleh yang demikian, situasi panik dan meresahkan tidak perlu dicetuskan terhadap masyarakat,” katanya. – 12 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Cyberbullying: a deadly trend in Malaysia demanding urgent action – Syerleena Abdul Rashid

With tragic suicides linked to online harassment, there is urgent need for stronger laws, increased penalties to combat this menace effectively

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related