KUALA LUMPUR – Salah seorang pemilik rumah di unit kediaman tingkat 17, Flat Sri Sabah di sini yang musnah dalam kebakaran semalam, mendakwa ada jiran terlihat percikan api dipercayai daripada rumahnya.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Law, 32, itu berkata, ketika kejadian, dia berada di sebuah pusat beli-belah di Cheras di sini sebelum menerima panggilan daripada sepupunya kira-kira jam 9.45 malam memaklumkan berkaitan kejadian terbabit.
“Ketika kejadian, saya dan ibu keluar bersama dua anak sebelum sepupu yang duduk di blok lain telefon beritahu rumah saya terbakar.
“Saya bergegas pulang, namun tidak dapat masuk. Ada jiran beritahu kebakaran bermula di rumah saya kerana dia ternampak percikan api pada kotak fius,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Wanita itu yang menghuni kediaman terbabit bersama ibunya berkata, dia agak terkejut dengan kejadian menimpa rumah yang diduduki sejak lahir.
“Saya dan ibu mengalami kerugian ribuan ringgit selain dokumen peribadi musnah dalam kebakaran ini.
“Kami kini sehelai sepinggang, duit ibu juga musnah terbakar. Sangat terkejut, berlaku pada hari raya (Tahun Baharu Cina) pula.
“Kami harapkan pihak kerajaan dapat menyediakan rumah baharu menggantikan (rumah) yang terbakar ini,” katanya yang bersyukur kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.
Dalam pada itu, dia turut menafikan satu laporan yang mendakwa kebakaran tersebut berpunca disebabkan ritual agama sempena Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang terkesan, Joseph Simon, 61, berkata, dia sedang menikmati makan malam sebelum dihubungi rakannya memaklumkan kediamannya terbakar.
“Lebih kurang jam 9.30 malam saya terima panggilan rakan, lantas saya bergegas pulang. Sebaik sampai saya ingat rumah saya sahaja terbakar, rupanya api merebak dari pintu tiga dan turut menjejaskan rumah jiran lain.
“Masalah pada tekanan air juga memberi kesan. Itu yang lambat nak padam, kalau ada mungkin boleh selamat banyak rumah. Kita pun tidak berani hendak pergi dekat sebab api marak dengan cepat.
“Setakat ini saya belum boleh anggarkan kerugian saya, kerana rumah saya dalam proses ubah suai dalaman, jadi banyak barangan elektrik yang saya sudah keluarkan,” katanya.
Bagaimanapun beliau bersyukur kejadian tersebut tidak melibatkan kehilangan nyawa, kerana kebiasaan ibunya yang berusia 82 tahun akan sentiasa berada di rumah.
“Namun beberapa hari sebelumnya dia kata hendak pergi rumah kakak saya, jadi saya hantarlah.
“Apa pun saya reda dengan kejadian yang berlaku. Harap ada sedikit bantuan dan sumbangan oleh kerajaan atau pihak berwajib bagi meringankan beban ditanggung semua mangsa,” katanya yang tinggal di situ lebih 30 tahun. – 12 Februari, 2024