KUALA LUMPUR — Satu akaun X, yang telah memancarkan penstriman langsung salah seorang calon yang bertanding pada pilihan raya presiden (Pemilu), Anies Baswedan, ketika berkempen baru-baru ini, telah mencatatkan peningkatan pengikut yang paling ketara.
Daripada 400 pengikut asal, ia merekodkan peningkatan 1,000 orang dalam masa sejam dan kini akaun X @aniesbubble mempunyai 184.1 ribu pengikut, selepas memuatnaik penstriman langsung Anies pada 10 Februari lalu.
Akaun @aniesbubble juga adalah peminat K-Pop serta anime Jepun.
Ketika dihubungi portal ABC, pemilik akaun yang enggan mendedahkan identitinya kerana bimbang diganggu secara dalam talian berkata, dia tidak dibayar untuk berkempen dan orang ramai tidak ‘semestinya mengundi Anies’ dalam pilihan raya tersebut.
Sebaliknya, dia hanya mahu memberi peluang kepada orang ramai terutama Gen Z sepertinya, untuk memeriksa rekod pencapaian Anies.
“Penstriman langsung TikTok Anies popular kerana ia menyerupai bintang Korea yang sering membuat hantaran secara langsung di dalam kereta mereka ketika mengadakan jelajah,’’ katanya.
Anies and Imin crowd at Jakarta Intenational Stadium 🌾#KumpulAkbarJIS01#HumaniesFestival pic.twitter.com/GsIjcjKZZC
— 아니스 (@aniesbubble) February 10, 2024
Budaya pop Korea telah menjadi sebahagian daripada kehidupan golongan muda di Indonesia menerusi drama, muzik malah tidak terkecuali adalah produk penjagaan kulit.
Kira-kira 240 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu 2024 pada Rabu ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
Ketiga-tiga calon presiden adalah Prabowo Subianto, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo.
Penyandang Presiden, Joko Widodo (Jokowi) tidak bertanding semula setelah tempoh perkhidmatan dua penggalnya berakhir.
Menerusi pilihan raya kali ini, kira-kira 60% daripada pengundi yang layak adalah golongan Gen X, milinial, dan Gen, justeru mereka akan memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pemenang kelak. – 12 Februari, 2024