KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas selepas terlanggar seekor ular sawa di KM311.5 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkaitan kemalangan maut membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic Hatchback yang terbabas sendiri kira-kira jam 5.38 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan terbabit yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Taiping terbabas akibat terlanggar seekor ular di laluannya.
“Pemandu kenderaan terbabit yang berusia 36 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian itu agar tampil memberi keterangan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @Mohammed Razikin, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Daerah Tapah di talian 013-2087919.
“Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa memandu serta mendapatkan rehat secukupnya agar dapat mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, menerusi perkongsian Facebook Polis Selangor, mangsa disahkan sebagai Koperal Wan Muhammad Mohd Rodzlad yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
“Allahyarham berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 17 tahun.
“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga, IPD Klang Utara. Salam takziah,” katanya.
Pada masa sama, seorang ahli keluarga Wan Muhammad menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan semasa kejadian mangsa dalam perjalanan mengambil ibunya di Taiping, Perak.
Menurut Mohd Najib, kenderaan dipandu anak buahnya itu terlanggar seekor ular sawa sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.
“Al-Fatihah buat anak buah kami. Dia anak kepada sepupu saya Kak Nor di Taiping. Arwah meninggal dunia kemalangan di Tapah.
“Dalam perjalanan balik Taiping ambil maknya. Ikut laporan kemalangan langgar ular sawa jam 5.30 pagi. Kereta terbabas langgar penghadang jalan,” katanya. – 11 Februari, 2024