Sepatutnya Nik Elin guna medium lebih harmoni, tertib: Amanah Selangor

BHES Amanah Selangor memuji komitmen Kerajaan Perpaduan dalam isu itu, selain menjunjung tinggi Perlembagaan apabila hasrat memperkasa sistem kehakiman dan perundangan Syariah kekal agenda utama kerajaan

11:17 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru bertindak proaktif dengan menyegerakan kewujudan Jabatan Pendakwaan Syariah di peringkat Persekutuan yang bertindak sebagai agensi penyelaras seumpama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Ketua Biro Hal Ehwal Syariah (BHES) Amanah Negeri Selangor, Azrulkhakim Suradi berkata, kewujudan jabatan itu adalah bagi memperkasa institusi kehakiman dan perundangan syariah di negara ini.

Katanya, pihak kerajaan termasuk di peringkat negeri juga, hendaklah berusaha memisahkan Bahagian Penguatkuasaan Agama di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), selain dinaiktarafkan kedudukan dan bidang kuasanya sebagai sebuah jabatan berasingan.

“Melalui penguatkuasaan efisien, pendakwaan syarie kompeten dan Mahkamah Syariah yang cekap, insya-Allah hasrat melihat Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah di Malaysia setaraf dengan Mahkamah Sivil atau lebih baik akan berjaya dicapai serta direalisasikan.

“BHES Amanah Negeri Selangor juga mengajak khalayak untuk melihat pemerkasaan Mahkamah Syariah tidak disorot dalam konteks kes jenayah Syariah semata-mata, tetapi hendaklah mengambil kira efektifnya prosiding perbicaraan, pendengaran dan penguatkuasaan perintah berkenaan kes Mal.

“Mahkamah Syariah hendaklah berusaha memastikan perintah yang dikeluarkan dapat dikuatkuasakan sebagaimana ‘Perintah’ dikeluarkan sebuah mahkamah. Contohnya Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di setiap negeri hendaklah dibiayai dengan sumber kewangan yang kukuh, selain menjadikan BSK sebagai institusi penguatkuasa perintah mahkamah unggul dan memastikan kebajikan pelanggannya, terutama kumpulan rakyat terbela,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, BHES Amanah Negeri Selangor turut mengharapkan agar model hirarki Mahkamah Syariah di Perak hendaklah dicontohi kerana Perak adalah satu-satunya negeri yang mempunyai hirarki Mahkamah Syariah 4 tingkat, iaitu (satunya) melalui penubuhan Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak pada tahun 2018.

Perak satu-satunya negeri yang mempunyai hirarki Mahkamah Syariah 4 tingkat, iaitu (satunya) melalui penubuhan Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak pada tahun 2018. – FB Jabatan Kehakiman Syariah Perak, 11 Februari, 2024

“Tiga lagi adalah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Justeru, sangat diyakini kompetensi pentadbiran kes di Mahkamah Syariah akan dapat lebih ditingkatkan melalui peningkatan satu lagi hirarki mahkamah iaitu Mahkamah Utama Syariah di negeri,” katanya.

Azrulkhakim berkata, selain peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang teguh mempertahankan kewujudan institusi Mahkamah Syariah di Malaysia dan negeri, BHES Amanah Negeri Selangor menjunjung kasih tidak terhingga atas kesungguhan Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu untuk memastikan pemerkasaan Mahkamah Syariah, terus direalisasikan sehingga mencapai impian tinggi seluruh umat Islam di Malaysia.

Melihat kepada keputusan kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, manifestasi daripada penghakiman terbabit adalah sangat jelas, iaitu bidang kuasa institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia tetap terpelihara serta akan terus diperkasakan. – Abdul Razak Latif/Scoop, 11 Februari, 2024

Sementara itu, berhubung keputusan kes dikemuka peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang menyaksikan mahkamah mengisytiharkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah, beliau menegaskan, ia seharusnya dihormati semua pihak.

Tegasnya, manifestasi daripada penghakiman terbabit adalah sangat jelas, iaitu bidang kuasa institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia tetap terpelihara serta akan terus diperkasakan.

BHES Amanah Negeri Selangor, ujarnya, percaya dasar dan amalan pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman terserlah serta terlaksana pada era Malaysia Madani hari ini melalui kes terbabit serta beberapa kes lain yang sebelumnya di Mahkamah Sivil.

Menurutnya, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoritinya 2-1 menolak permohonan seorang wanita berusia 34 tahun untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya keluar daripada agama Islam.

Begitu juga, katanya, dalam kes seumpama yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang apabila hakim, menolak permohonan seorang mualaf berusia 57 tahun untuk keluar meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asalnya, iaitu Kristian.

Dalam keputusannya pada awal Ogos 2023 berkenaan, tegasnya, hakim memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa untuk mendengar perkara itu kerana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, memberikan Mahkamah Syariah bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan perkara berkaitan dengan keluar Islam dan aspek agama Islam yang lain.

“Kedua-dua penghakiman kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di atas memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa, walau apa parti yang memerintah, sistem kehakiman di Malaysia tetap berpegang kepada fakta selari dengan Perlembagaan Persekutuan tanpa dibayangi dan dipengaruhi mana-mana pihak, termasuk pihak kerajaan. Prinsip ‘Kedaulatan Undang-Undan’ tetap terus dijunjung dan dipelihara.

“Berbalik kepada kes terbaharu, jika kita merujuk kepada penghakiman Mahkamah Persekutuan terbabit, ia suatu isyarat jelas kepada pihak berkuasa agama Islam, termasuk kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memastikan penggubalan undang-undang Islam dilaksanakan mengikut lunas serta peruntukan Perlembagaan negara,” katanya.

Namun, berhubung kes Nik Elin Zurina itu, beliau berkata, BHES Amanah Negeri Selangor berpendapat, sepatutnya pihak pempetisyen terlebih dahulu menggunakan medium yang lebih harmoni untuk menentukan keabsahan badan perundangan negeri berkenaan, sebelum memfailkan petisyennya.

Jelasnya, tindakan lebih tertib dapat mengelakkan suasana tidak selesa dalam kalangan khalayak.

Pada masa sama, beliau berkata, BHES Amanah Selangor memuji komitmen Kerajaan Perpaduan dalam isu itu, selain menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan apabila hasrat memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan Syariah kekal menjadi agenda utama kerajaan.

“Tambahan pula Majlis Raja-Raja Melayu melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berkenan menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-undang Islam.

“Tindakan proaktif ini dilihat mampu membawa keharmornian antara undang-undang sivil dan syariah, apatah lagi ianya mendapat dukungan penuh Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan Nik Elin Zurina dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini. – Abdul Razak Latif/Scoop, 11 Februari, 2024

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man yang mengetuai sembilan panel, menyampaikan keputusan majoriti Hakim 8-1, di mana mereka mengekalkan Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang rosak akhlaknya).

Justeru, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa 16 peruntukan termasuk Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 dan 17 (hubungan seksual dengan mayat dan bukan manusia) serta Seksyen 42 (penyalahgunaan label dan konotasi halal) adalah terbatal.

Tengku Maimun berkata, dua peruntukan iaitu Seksyen 5 (tuntutan palsu) dan Seksyen 37 (perjudian) yang ditarik balik oleh kedua-duanya tahun lepas dianggap sah.

Dengan keputusan berkenaan, Badan Perundangan Negeri Kelantan, tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu. – 11 Februari, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related