KUALA LUMPUR – PAS harus akur bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 melambangkan kelemahan Badan Perundangan Negeri Kelantan kerana meluluskan undang-undang bercanggah dengan Perlembagaan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, PAS bagaimanapun bertindak mengelirukan umat Islam kononnya mahkamah syariah terancam dan dicabar, selain mendakwa undang-undang Allah dibatalkan atas kehendak golongan liberal.
“Rakyat Kelantan perlu persoalkan siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meluluskan enakmen tersebut dan siapa Speaker Dewan Kelantan yang mengendalikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu serta siapa Penasihat Undang-Undang yang dirujuk waktu itu.
“Secara moral perundangannya, pembatalan 16 peruntukan dalam enakmen tersebut oleh Mahkamah Persekutuan adalah kegagalan fungsi Adun dan Speaker, sekali gus mencalarkan imej DUN dari segi ia tidak menghormati bidang kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Keputusan itu bagaimanapun disifatkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai ‘Black Friday’ atau Jumaat yang hitam kepada syariah dan undang-undang Islam.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, untuk menggubal undang-undang syariah, DUN tertakluk kepada Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyenaraikan kuasa Parlimen dan Badan Perundangan Negeri (DUN) serta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
“Hal demikian sepatutnya dalam pengetahuan semua Adun PAS di DUN Kelantan khususnya Speaker Dewan yang berperanan memastikan setiap enakmen tidak melampaui kuasa yang ada padanya.
“Pembatalan 16 peruntukan dalam enakmen itu adalah kegagalan Adun PAS di Kelantan untuk meneliti kesemua 18 peruntukan yang dipertikaikan,” katanya.
Susulan itu, Mujahid berkata, PAS sepatutnya memperbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti selain menerima nasihat dengan menghormati peruntukan kuasa yang ada pada DUN.
“PAS juga seharusnya bersikap jujur daripada menggunakan keputusan ini sebagai bahan politik yang menjejaskan keharmonian undang-undang negara.
“Ramai Ahli Parlimen PAS dan ADUN sepatutnya mengambil peranan menjelaskan bagaimana proses perundangan dibuat dan apakah bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam lafaz sumpah setia semua Ahli Parlimen dan Adun berjanji untuk mempertahankan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, takzir yang digubal oleh DUN Kelantan dibatalkan kerana melampaui batas kuasa ditetapkan Perlembagaan Persekutuan iaitu menggubal undang-undang bercanggah dengan peruntukan sedia ada di peringkat Persekutuan.
“Maknanya kesalahan jenayah dilakukan tetap terlaksana hukumannya dalam Undang-Undang Persekutuan sebagai takzir. Bagaimana boleh dikatakan kononnya keputusan ini untuk menghapuskan undang-undang Islam!
“Takzir boleh dibatalkan jika undang-undang yang sama sudah sedia wujud di Persekutuan bagi mengelakkan dua hukuman pada jenayah sama dikenakan kepada pesalah sebagai menghormati prinsip keadilan,” katanya. – 10 Februari, 2024