KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mendakwa ada pihak kurang senang dan tidak keruan melihat keakrabannya dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Susulan itu katanya, timbul dakwaan tular di media sosial kononnya kerusi Parlimen Lipis yang disandangnya akan ‘ditapau’ Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang.
Bagaimanapun, beliau berkata, dakwaan itu hanyalah khabar angin yang sengaja diada-adakan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
“Ini serangan persepsi yang tempang dan lemah bagi meracuni kubu-kubu kuat Umno Pahang yang disinergikan dengan baik oleh buah fikir Wan Rosdy di peringkat Umno negeri.
“Lagi-lagi selepas satu retreat (sesi pemukiman) baru-baru ini membabitkan kehadiran penuh semua ketua Umno bahagian dan Ahli Jawatankuasa Umno Pahang di Janda Baik.
“Ombaknya kedengaran, pasirnya tak kelihatan. Serangan untuk melaga-lagakan saya dengan Menteri Besar dan cubaan melemahkan kekuatan Umno Pahang dicanang tanpa usul periksa dan tanpa sebarang bukti nyata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia itu menegaskan beliau tetap akan menyokong perjuangan dibawa Wan Rosdy bagi memacu Pahang dan Umno ke peringkat tertinggi dan kalis cabaran mendatang.
“Percayalah kecemerlangan Umno Pahang ini datangnya dari kekukuhan dan kekuatan peribadi Wan Rosdy sendiri.
“Jika bukan sosok ini yang menerajui Umno Pahang, bersedialah menerima siri kejatuhan Umno Pahang seperti yang berlaku di negeri lain,” katanya.
Mengenai dakwaan yang tular itu, Abdul Rahman berkata, beliau secara peribadinya tidak menaruh sebarang dendam terhadap pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.
“Ini kerana golongan sebegini akan terus menaburnya (fitnah) tanpa segan silu selagi jiwa mereka tidak menemui Ilahi.
“Daripada kita melayan serangan seperti ini, lebih baik kita menumpukan keringat, fikiran dan langkah bagi memastikan rakyat menuju sebuah paradigma baharu berasaskan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – 10 Februari 2024