Dakwaan kertas undi telah ditanda awal: Panwaslu KL siasat, kumpul bukti

Komisi Pemilihan Umum Indonesia akan menghantar pasukan untuk menyiasat kertas undi yang telah ditanda awal di Malaysia

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Panitia Pengawas Pemilihan Umum Luar Negeri (Panwaslu-LN) Kuala Lumpur sedang menyiasat dan mengumpul bukti mengenai dakwaan kertas undi yang diterima pemilih berdaftar di negara ini telah ditandai awal pada ruangan gandingan Ganjar Pranowo-Mahfud MD.

Gandingan tersebut merupakan gandingan calon Presiden dan Naib Presiden Indonesia yang berada di petak nombor tiga pada kertas undi.

Petak pertama adalah gandingan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, manakala gandingan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka di petak kedua.

Ketua Panwaslu-LN Kuala Lumpur, Rizky Al Farizie ketika dihubungi Scoop berkata, ketika ini isu yang sedang berlegar adalah melibatkan kertas undi pos bagi pemilihan umum (Pemilu) di kawasan Kuala Lumpur.

“Sudah tentu kita sedang dalam proses mencari maklumat bagi mengumpul keterangan dan bukti daripada pihak-pihak terlibat dalam proses undian secara undi pos itu,” katanya.

Menurut beliau, bagi Pemilu 2024, ia dijalankan melalui tiga kaedah iaitu secara pos, peti undi mudah alih (KSK) dan di pusat pengundian di luar negeri (TPSLN).

“Kami ada penyelia-penyelia di Kuala Lumpur termasuk di beberapa negeri seperti di Putrajaya, Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Terdahulu agensi berita Antara melaporkan, Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia akan menghantar pasukan untuk menyiasat kertas undi yang telah ditanda awal di Malaysia.

Sebelum ini, tular video mengenai perkara itu untuk pilihan raya presiden 2024 menunjukkan kertas undi yang diterima telah ditandai untuk gandingan calon Ganjar Pranowo-Mahfud MD.

Pasukan Kempen Kebangsaan (TKN) Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka menyatakan akan segera menghantar pasukan untuk menyiasat dakwaan penipuan itu.

Kira-kira 275,000 rakyat Indonesia yang tinggal di Malaysia dijangka menunaikan tanggungjawab mereka pada Pemilu kali ini.

Pemilu 2024 akan diadakan pada 14 Februari ini, dengan tempoh kempen bermula pada 28 November tahun lalu dan berakhir hari ini.

Dalam pada itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono yang turut dihubungi Scoop berkata, urusan Pemilu adalah tanggungjawab Komisi Pemilihan Umum (KPU), bukannya urusan kedutaan.

Pihaknya menyerahkan sepenuhnya urusan tersebut termasuk siasatan mengenai dakwaan berlakunya penipuan kepada kertas undi kepada KPU dan Panwaslu KL. – 10 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related