Tradisi ‘makan besar’ dihidupkan, lambang keharmonian, kemakmuran

Tradisi itu harus dikekalkan dan diwarisi oleh golongan muda

9:26 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tradisi ‘makan besar’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang dianggap membawa tuah dan kaya dengan nilai-nilai melambangkan keharmonian serta kemakmuran, terus dihidupkan bagi meraikan kehadiran Tahun Naga hari ini.

Tinjauan Bernama di negeri-negeri pada malam tadi mendapati masyarakat Tionghua mengambil kesempatan daripada jamuan itu yang diadakan sama ada di rumah atau di restoran, untuk berkumpul dan bertanya khabar bagi mengeratkan lagi hubungan ahli keluarga.

Di Pahang, Nur Allyshia Low Kim Choon, 30, berkata, meskipun sudah memeluk Islam, dia dan suami, Abdul Wafa Mohd Amadzun, 30, tetap menghormati perayaan Tahun Baharu Cina dengan menyantuni ayahnya, Low Kim Choon, 52, dan ibunya, Wong Chew Mei, 55, apabila pulang untuk makan besar.

“Dahulu, pada awalnya rasa janggal juga tapi tahun demi tahun perkara ini dah jadi biasa dan kami gembira dapat bersama ahli keluarga yang lain,” katanya kepada Bernama.

Nur Allyshia, yang berdarah campuran Cina dan Orang Asli, berharap keharmonian dan keserasian yang terbentuk dalam keluarga mereka itu dapat dikekalkan sampai bila-bila.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga berkata, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia telah membolehkan masyarakat berlainan agama dan bangsa hidup dalam suasana harmoni dengan mengekalkan identiti masing-masing.

Nur Allyshia Low Kim Choon (tengah) dan suami, Abdul Wafa Mohd Amadzun (tiga, kanan) ‘makan besar’ bersama bapanya, Low Kim Choon (lima, kiri), dan ibunya Wong Chew Mei (tiga, kiri) serta keluarga mereka sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – Gambar Bernama, 10 Februari, 2024

Di Selangor pula, sebahagian masyarakat Tionghua di sini mengadakan jamuan makan besar sempena Tahun Baharu Cina di restoran dan hotel, namun masih ramai juga yang menyambutnya di rumah.

Bagi pekerja swasta, Jamunah Cherlynn Goh Siew Wei, 30, yang merupakan kacukan India dan Cina, dia memilih untuk mengadakan jamuan itu di restoran tahun ini kerana keadaan ibunya yang kurang sihat.

“Biasanya, ibu akan masak pelbagai juadah kombinasi makanan Cina dan India tetapi sedikit terbatas tahun ini. Apa yang penting kami sekeluarga dapat berkumpul dan berkongsi cerita, itu lebih utama,” katanya yang menyambut Tahun Baharu Cina di Bandar Bukit Raja, Klang.

Sementara itu, di Pulau Pinang, pekerja swasta, Chew Shin Hui, 22, berkata, makan besar adalah hari yang ditunggu-tunggu kerana dapat berkumpul bersama keluarga dan dia mahu mengekalkan tradisi itu.

“Sebab ini adalah tradisi kita, saya mahu ia terus kekal diwarisi terutama dalam kalangan golongan muda dan tahun ini jamuan makan besar kami lebih meriah kerana dua abang saya yang bekerja di Singapura pulang meraikan Tahun Baharu Cina,” katanya yang memilih untuk mengadakan jamuan tersebut di rumah.

Keluarga Lim Chin Ewe menikmati makan besar sempena Tahun Baharu Cina di rumah mereka dekat Lim Jetty, Jalan Pengkalan Weld, George Town, Pulau Pinang malam tadi. – Gambar Bernama, 10 Februari, 2024

Di Perlis, Khoo Sung Sing, 42, berkata, tradisi makan besar bersama ahli keluarganya kali ini berbeza sedikit berbanding tahun-tahun lepas kerana diadakan di rumah ibunya di Kuala Sanglang, Arau.

“Keluarga saya tidak ramai hanya ada lima orang, setelah kematian bapa lima tahun lepas emak terus tinggal di sini. Selalunya saya akan bawa emak ke rumah saya, tapi kali ini saya ingin sambut tahun baharu di sini,” katanya yang menetap di Jitra, Kedah.

Dalam masa sama, Khoo berharap sempena kedatangan Tahun Naga ini keluarga kecilnya dilimpahi rezeki dan tuah, selain berasa gembira kerana tidak lama lagi dia akan mendapat ahli keluarga baharu.

Dalam pada itu, Qila Ismail, 35, berkata, ini kali pertama dia merasai sendiri keistimewaan tradisi makan besar selepas dijemput ke rumah keluarga bakal suaminya bagi meraikan Tahun Baharu Cina.

“Bagi saya ia satu pengalaman yang menarik kerana berpeluang memahami tradisi kaum Cina, selain dapat mengeratkan silaturahim dengan bakal keluarga mentua,” katanya.

Tradisi ‘makan besar’ sempena Sambutan Tahun Baharu Cina dianggap membawa tuah dan kaya dengan nilai-nilai melambangkan keharmonian serta kemakmuran. – Gambar Bernama, 10 Februari, 2024

Di Johor, majlis makan besar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon meriah dengan kehadiran kira-kira 30 ahli keluarganya untuk menikmati sajian stimbot di Tongkang Pechah, Batu Pahat.

“Tahun ini sambutan agak meriah berbanding beberapa tahun sebelum ini akibat Covid-19, ramai ahli keluarga boleh pulang dan menghabiskan cuti masing-masing dengan mengunjungi rumah saudara-mara,” katanya.

Sementara itu, Tneo Kai Ler, 36, yang berketurunan Baba dan Nyonya berkata, jamuan makan besar keluarganya di Batu Pahat sedikit berbeza dengan hidangan nasi dan lauk-pauk serta beberapa kuih-muih.

“Kebiasaannya masyarakat Cina lebih suka makan bubur dan makanan yang direbus atau sup serta beberapa jenis makanan ringan tetapi malam ini kami buat kelainan dengan sajian nasi,” katanya. – 10 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related