Peniaga Pasar Besar Jalan Othman mengeluh sewa naik mendadak, ‘ada peniaga terpaksa tutup kedai’

Situasi itu menyebabkan barangan jualan terhad, seterusnya jumlah pelanggan turut berkurangan apabila mereka memilih ke premis lain

3:00 PM MYT

 

PETALING JAYA – Peniaga Pasar Besar Jalan Othman di sini mendakwa, mereka dibelenggu kadar sewa bulanan tapak yang tinggi sejak lebih tiga tahun lalu.

Mendedahkan kemelut itu kepada Scoop, peniaga terbabit berkata, mereka terkesan dengan kadar RM350 ditetapkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Mei 2020 itu yang menyaksikan peningkatan lebih 300% daripada bayaran asal iaitu RM95.

Katanya, bebanan itu semakin dirasai apabila bilangan pembeli berkurangan sejak kebelakangan ini berbanding beberapa tahun lalu kerana semakin banyak premis jualan di kawasan sekitar pasar berkenaan beroperasi.

Kelihatan peniaga di bahagian sayur-sayuran di Pasar Besar Jalan Othman sibuk melayan pelanggan mereka. – Gambar Muslim Al Abid/Scoop, 10 Februari, 2024

Peniaga ayam, Muhammad Yusri Mohd Redzuan, 40, berkata, kekurangan pendapatan diraih peniaga membuatkan mereka terbeban apabila perlu membayar sewa tapak setinggi itu.

“Kalau sebelum ini keuntungan kami baik sahaja, tetapi selepas kenaikan harga tersebut, kami semakin sukar mendapat keuntungan selesa.

“Orang (pembeli) sekarang pun sudah tidak ramai yang menyebabkan kami terbeban membayar kos tambahan, jadi macam mana kami nak dapat untung berniaga?” ujarnya ketika ditemui.

Peniaga daging, Zamri Shahba pula berpandangan tindakan pihak berkuasa tempatan menaikkan kadar sewa adalah tidak wajar. – Gambar Muslim Al Abid/Scoop, 10 Februari, 2024

Bagi peniaga daging, Zamri Shahba, 56, tindakan dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu menaikkan kadar sewa tapak tidak wajar kerana jumlah pelanggan ke situ tidak ramai.

Malah, katanya, kenaikan kadar sewa itu juga bukan keutamaan kecuali jika pasar berkenaan dikunjungi ramai pelanggan dan boleh memberi keuntungan lebih kepada peniaga.

Zamri berkata, sebaliknya, pihak terbabit perlu mencari pendekatan terbaik untuk menarik lebih ramai penduduk datang ke pasar berkenaan.

“Sebenarnya pengurangan pelanggan di pasar ini berpunca daripada masalah parkir terhad yang menyusahkan orang ramai meletakkan kereta untuk membeli barangan di premis.

“Tempat parkir di sekeliling pasar ini memang agak susah didapati. Kalau orang nak parkir sekejap pun boleh kena saman,” katanya.

Sebahagian pelanggan tetap pasar ini juga mula beralih ke premis lain memandangkan penjual dan pilihan barangan keperluan semakin berkurangan. – Gambar Muslim Al Abid/Scoop, 10 Februari, 2024

Manakala, peniaga sayur, Chua Beng Teng, 72, yang sudah berniaga selama 25 tahun di pasar itu berkata, kenaikan kadar sewa tapak itu dipercayai menjadi antara sebab ramai peniaga ‘gulung tikar’ atau tidak mahu meneruskan perniagaan di situ.

“Bila ramai peniaga berhenti berniaga, pilihan produk pun semakin berkurangan dan ini juga mungkin penyebab orang ramai tidak berminat ke situ sebab tak banyak sangat jenis barangan,” luahnya.

Beng Teng juga mempersoalkan mengapa tiada usaha menaik taraf infrastruktur di pasar itu walaupun harga sewa tapak meningkat.

“Saya bayar mahal-mahal untuk apa? PBT naikkan bayaran sewa jadi semestinya saya sebagai peniaga mahu nampak kesannya,” katanya.

Sementara itu, beberapa pembeli yang ditemui mengakui kekurangan pilihan dan keadaan ruang letak kereta terhad di pasar itu, menjadi antara sebab mereka jarang ke situ.

Jenny, 65, yang menetap di kawasan perumahan berhampiran pasar itu berkata, walaupun dia tinggal berdekatan premis berkenaan, dia memilih membeli barangan dan bahan makanan keperluan harian di pasar lain.

“Saya tak pegi pasar ini, saya selalu pegi pasar jauh sedikit. Pilihan barang lagi banyak dan saya tak perlu risau kereta disaman,” katanya.

Seorang pembeli, Mohd Ramli Kassim, 46, pula berkata, dia sering ke pasar berkenaan sebelum ini, namun sejak peniaga berkurangan yang menyebabkan pilihan barangan tidak banyak, dia memilih untuk ke premis jualan di tempat lain kerana boleh membeli semua produk keperluan pada masa sama.

“Dulu pasar ini sangat meriah, sampaikan menjadi tumpuan acara komuniti seperti tarian singa menjelang Tahun Baru Cina, tetapi sekarang ini jumlah peniaga dan pembeli sudah berkurang,” katanya. – 10 Februari, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related