KUALA LUMPUR — Penubuhan jawatankuasa khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) merupakan antara usaha kerajaan untuk menangani konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan negeri dan antara mahkamah sivil serta mahkamah syariah.
Ia ditekankan oleh Mimbar hari ini menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Islam Menjulang Keadilan’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Jawatankuasa Khas itu dicadangkan oleh Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 28 Ogos lalu bagi menangani apa-apa isu berbangkit akibat pertindihan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Parlimen.
Tegasnya, umat Islam harus memberikan ruang dan keyakinan kepada Jawatankuasa yang ditubuhkan itu bagi mencari penyelesaian yang terbaik kepada umat Islam dan negara seluruhnya.
“Masyarakat hendaklah menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengatasi pertindanan bidang kuasa dalam bidang perundangan Islam demi memastikan keadilan dan kesejahteraan masyarakat dapat dilaksanakan secara adil, berhikmah dan harmoni,’’ katanya.
Mimbar berkata, undang-undang Islam amat menekankan keadilan dan menghapus kezaliman.
“Penubuhan Mahkamah Syariah berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mentadbir undang-undang Islam di negeri masing-masing,’’ katanya.
Mimbar turut menjelaskan memandangkan persekutuan dan negeri masing-masing mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan undang-undang jenayah, adakalanya akan timbul isu pertindanan kesalahan di antara kesalahan yang terdapat di dalam Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dengan kesalahan yang terdapat di dalam Kanun Keseksaan [Akta 574] atau undang-undang persekutuan yang lain.
Tegasnya, dalam konteks negara ini kewujudan dan pelaksanaan undang-undang Islam telah bermula sejak zaman Kerajaan Kesultanan Melayu manakala Penubuhan Mahkamah Syariah selepas kemerdekaan pula berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mentadbir undang-undang Islam di negeri masing-masing.
“Berdasarkan punca kuasa tersebut, Negeri-Negeri telah pun mengadakan peruntukan termasuklah mengenai penubuhan, keanggotaan, susunan dan tatacara Mahkamah Syariah di bawah Akta atau Enakmen Negeri-Negeri.
“Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf dan menghormati kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini,’’ tegasnya.
Menurut Mimbar, pada 1988, Fasal (1A) Perkara 121 telah digubal dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan ini bertujuan untuk menetapkan bidang kuasa yang jelas di antara mahkamah sivil dengan Mahkamah Syariah.
Menerusi pindaan ini ia telah meningkatkan lagi kedudukan dan kewibawaan Mahkamah Syariah di negara ini.
Menurut peruntukan Fasal (1A) Perkara 121 itu, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti kesalahan liwat, judi dan sumbang mahram. – 9 Februari, 2024